MCMC saman Google RM300 juta berhubung kandungan Papagomo di YouTube

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman RM300 juta terhadap Google LLC di Mahkamah Tinggi di sini pada 23 Okt lepas, berhubung dakwaan kecuaian syarikat itu terhadap penyebaran semula kandungan palsu berbaur fitnah di YouTube oleh penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang dikenali sebagai Papagomo.
Saman terhadap syarikat teknologi multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu difailkan MCMC selaku plaintif menerusi Tetuan Sitham & Associates. Pengurusan kes ditetapkan pada 8 Dis ini secara e-semakan di hadapan Timbalan Pendaftar Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Dalam pernyataan tuntutan, MCMC berkata pihaknya menerima aduan pada 12 Ogos lepas dan mengenal pasti kandungan Wan Muhammad Azri yang diterbitkan semula serta boleh diakses di YouTube.
Suruhanjaya itu kemudian mengeluarkan notis kepada Google pada 19 Okt. MCMC mendakwa Google gagal melaksanakan kewajipan statutori yang bebas di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta syarat lesennya, sehingga kandungan berkenaan terus disebarkan.
MCMC turut mendakwa Google tidak mengambil langkah proaktif yang munasabah untuk menilai dan menyiasat secara bebas kandungan yang dipertikaikan serta saluran YouTube Wan Muhammad Azri selepas menerima notis itu. Google juga didakwa gagal bertindak segera untuk mengalih keluar kandungan, menyahdayakan atau mengehadkan akses kepada hantaran terbabit dan saluran berkenaan dalam tempoh munasabah.
Menurut plaintif, Google mengetahui tindakan berterusan Wan Muhammad Azri menyebarkan kandungan yang memudaratkan di YouTube, namun gagal, enggan atau cuai mengambil langkah sewajarnya untuk memadamkannya. MCMC mendakwa kegagalan dan keengganan mematuhi notis menyebabkan kandungan itu terus disebarkan semula.
MCMC berkata penyebaran itu menjejaskan persepsi serta kredibiliti pemimpin negara dan menghakis keyakinan awam. Kandungan berkenaan, menurut suruhanjaya itu, adalah palsu, mengelirukan dan tidak berasas berkaitan tokoh awam, institusi kerajaan, pihak berkuasa serta kepentingan awam.
Susulan kegagalan Google memadamkan kandungan yang diterbitkan dan diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri di YouTube, MCMC mendakwa pihaknya mengalami kerugian, kerosakan atau kemudaratan.
Antara relif yang dipohon ialah deklarasi bahawa Google, sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan, tertakluk kepada kewajipan statutori untuk mematuhi arahan MCMC bagi mengalih keluar kandungan dan menyahdayakan akses kepadanya. MCMC juga memohon deklarasi bahawa Google melanggar kewajipan berjaga-jaga terhadap suruhanjaya itu dan pelanggan di Malaysia dengan membenarkan kandungan dalam talian yang memudaratkan dan bertentangan dengan undang-undang Malaysia kekal di YouTube.
Plaintif turut memohon perintah injunksi supaya Google meneruskan tindakan menyekat akaun YouTube berkenaan. MCMC juga memohon Google diarahkan mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam untuk mengesan dan memadamkan kandungan serupa yang menampilkan Wan Muhammad Azri, sama ada dimuat naik menerusi akaunnya sendiri atau akaun pihak ketiga, termasuk dalam sesi siaran langsung di YouTube.
Selain itu, MCMC menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan masing-masing berjumlah RM100 juta atau jumlah lain yang ditaksirkan mahkamah. Suruhanjaya itu turut memohon faedah terhadap apa-apa ganti rugi yang diberikan, pada kadar dan bagi tempoh yang ditentukan mahkamah, kos prosiding atas dasar indemniti serta relif lanjut yang difikirkan wajar.