McGregor intai pertarungan terakhir

Sumber: Harian Metro
McGregor intai pertarungan terakhir
Gambar: Harian Metro

London: Bekas juara UFC, Conor McGregor dilihat sedang mempersiapkan diri untuk kemungkinan pertarungan terakhir dalam kariernya, dengan Max Holloway berpotensi menjadi lawan bagi aksi terakhirnya. Lebih empat bulan selepas kemunculan semula McGregor tidak berakhir seperti diharapkan, petarung Ireland itu kini dilihat kembali giat menjalani latihan. Menerusi hantaran terbaharu di Instagram bersama jenama minuman tenaga miliknya, Mac Energy, McGregor memuat naik gambar ketika menjalani latihan dengan kapsyen yang memberi gambaran dia semakin hampir kembali ke gelanggang.

"Kembali sepenuhnya ke gimnasium. Latihan menekan kaki, angkat berat, membebankan lutut dan membina kekuatan yang luar biasa. "Lutut sudah bersedia, kekuatan semakin kembali dan tubuh berfungsi dengan baik. Bersiap sedia untuk kem latihan," katanya. McGregor, 38, kembali ke oktagon selepas berehat selama lima tahun untuk berdepan Holloway pada 11 Julai lalu di Las Vegas. Bagaimanapun, McGregor mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) selepas tewas dalam pertarungan yang hanya berlangsung selama 69 saat.

Dia menjalani pembedahan lutut pada Ogos dan kini dilihat bersedia untuk cuba memenuhi baki satu pertarungan dalam kontraknya bersama UFC. Kembali menjalani latihan dan berpotensi beraksi semula dalam masa singkat itu pastinya mengejutkan ramai pihak yang menjangkakan McGregor hanya akan kembali pada penghujung 2027, seperti dibayangkan pengurusnya, Audie Attar, baru-baru ini. Tempoh panjang McGregor tidak beraksi sebelum pertarungan Julai lalu berpunca daripada kecederaan buku lali serius yang dialaminya ketika tewas menerusi kalah mati teknikal (TKO) kepada Dustin Poirier pada UFC 264, Julai 2021.

Dua minggu lalu, McGregor berkata dia berhasrat beralih ke Bare Knuckle Fighting Championships (BKFC) selepas menamatkan kariernya dalam UFC. Nyata penuh tanda tanya mengenai masa depan kariernya, namun peluang untuk melihat kemunculan terakhirnya terus menjadi fokus perhatian peminat dan pihak UFC.