Mangsa meninggal akibat kecederaan di kepala selepas ditemui separuh badan terbenam dalam lumpur

Nibong Tebal: Polis mengesahkan mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan separuh badan terbenam dalam lumpur di tebing tali air di Kampung Baru, Jalan Byram, di sini, malam tadi, dengan punca kematian dipercayai akibat kecederaan di kepala disebabkan hentakan objek tumpul. Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, punca kematian disahkan hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada hari ini. Beliau menambah bahawa identiti mangsa dan suspek yang terlibat belum dikenal pasti, dan siasatan kini giat dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian serta mengesan individu bertanggungjawab.
Beliau berkata, “Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan akibat objek tumpul pada bahagian kepala ( blunt force injuries to the head ).” Tambah beliau, pihak polis sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian, serta mengesan individu yang terlibat. Orangan ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Rizal Abd Rashid di talian 019-8282212 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berkongsi kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan.
Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Dakwaan awal yang dilaporkan media sebelum ini menyebut mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditemui awam dalam keadaan separuh badan terbenam dalam lumpur di tebing tali air di Kampung Baru, Ladang Byram, pada jam 11 malam Isnin. Pemeriksaan awal polis dan pasukan forensik mendapati terdapat kesan kecederaan pada kepala mangsa, serta kesan darah berhampiran tali air tersebut.