Remaja lemas ditemukan lima kilometer dari lokasi kejadian

Sumber: Sinar Harian

ROMPIN – Remaja lelaki yang dikhuatiri hilang selepas tenggelam di Pantai Tanjung Pahang, Teluk Gading, ditemukan lemas berhampiran Jeti Jalan Melati, Kampung Sarang Tiong, pada Selasa.

Mangsa, Mohamad Nur Afzuar Abdullah, 16, dari Felda Keratong 3, ditemukan penduduk kampung kira-kira jam 9.10 pagi, pada hari kedua Operasi Mencari dan Menyelamat (OP SAR). Lokasi penemuan mayat itu kira-kira lima kilometer dari tempat mangsa dilaporkan tenggelam pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat. Mayat kemudian dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Keratong 3, Bandar Tun Razak.

Beliau berkata, pihak polis menerima panggilan telefon mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.01 petang pada 22 November lalu. Anggota Balai Polis Tanjung Gemok kemudian bergegas ke lokasi dan pemeriksaan mendapati kejadian membabitkan dua mangsa.

Seorang lelaki berusia 39 tahun berjaya diselamatkan orang awam, manakala seorang lagi mangsa tenggelam.

Sharif Shai berkata, seramai 38 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga (PPM W3), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Perikanan menyertai operasi pencarian.

Sebanyak tujuh bot dan sebuah unit dron digunakan dalam operasi yang berlangsung selama dua hari itu.