Matrix Concepts raih dua Anugerah FIABCI Malaysia 2026

Sumber: Harian Metro
Matrix Concepts raih dua Anugerah FIABCI Malaysia 2026
Gambar: Harian Metro

Kuala Lumpur: Matrix Concepts Holdings Bhd meraih dua anugerah pada Anugerah Hartanah Malaysia FIABCI 2026, sekali gus mencatat pencapaian bermakna sempena ulang tahun penubuhannya ke-30 tahun ini. Pengasas merangkap Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Lee Tian Hock dinobatkan sebagai Tokoh Hartanah FIABCI Malaysia 2026 (Property Man of the Year), manakala pembangunan utama kumpulan itu, Bandar Sri Sendayan, memenangi kategori Pelan Induk dan Perbandaran. Kedua-dua anugerah itu disampaikan pada majlis anjuran FIABCI Malaysia di ibu negara baru-baru ini.

Matrix Concepts berkata, pengiktirafan itu mencerminkan sumbangan pengasasnya terhadap industri hartanah negara serta kejayaan kumpulan membangunkan perbandaran bersepadu yang memenuhi keperluan masyarakat. "Berbekalkan pengalaman lebih 40 tahun dalam industri hartanah, Tian Hock menubuhkan Matrix Concepts pada 1996 sebelum memulakan projek pembangunan pertamanya di Taman Bahau, Negeri Sembilan, pada 1997 ketika krisis kewangan Asia. "Di bawah kepemimpinannya, Matrix Concepts berkembang daripada sebuah syarikat pemaju hartanah di Negeri Sembilan kepada kumpulan hartanah dengan penglibatan dalam sektor pembangunan hartanah, pembinaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan hospitaliti," katanya dalam kenyataan.

Kumpulan itu turut memperluas operasinya ke Lembah Klang dan Johor, selain menembusi pasaran antarabangsa di Melbourne, Australia dan Indonesia. Mengulas pengiktirafan berkenaan, Tian Hock berkata, kejayaan yang dikecapi seharusnya dimanfaatkan untuk membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat. "Bangunan mungkin bertahan selama beberapa dekad, namun kepercayaan mampu kekal merentas generasi. "Saya berasal daripada latar belakang serba kekurangan dan tidak pernah melupakan pengalaman itu. Apa juga kejayaan yang kita capai seharusnya membuka peluang kepada orang lain untuk maju. Saya sentiasa percaya bahawa kekayaan hanya bermakna apabila digunakan untuk meningkatkan taraf hidup orang lain," katanya. Beliau berkata, pengiktirafan itu turut dikongsi bersama keluarga, rakan sekerja, rakan perniagaan dan seluruh warga kerja Matrix Concepts.

Sementara itu, kejayaan Bandar Sri Sendayan meraih anugerah kategori Pelan Induk dan Perbandaran mencerminkan keberkesanan perancangan jangka panjang pembangunan berkenaan sejak lebih dua dekad lalu. Meliputi kawasan seluas kira-kira 2,752 hektar, perbandaran bersepadu di Negeri Sembilan itu kini menempatkan lebih 120,000 penduduk. Pembangunan berkenaan merangkumi komponen kediaman, komersial, pendidikan, penjagaan kesihatan, hospitaliti dan rekreasi, selain hab perindustrian Sendayan TechValley serta kawasan hijau. Kemenangan itu turut membuka peluang kepada Bandar Sri Sendayan untuk mewakili Malaysia pada FIABCI World Prix d'Excellence Awards 2027 di Toronto, Kanada. Pengiktirafan terbaharu itu turut meletakkan Matrix Concepts dalam kelompok tiga syarikat hartanah yang menerima kedua-dua pengiktirafan Property CEO dan Property Man daripada FIABCI Malaysia.