Mara kaji ambil alih semula operasi penyediaan makanan MRSM
SHAH ALAM – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengkaji kemungkinan mengambil alih semula keseluruhan operasi penyediaan makanan di Dewan Selera MRSM seluruh negara tanpa bergantung kepada kontraktor luar. Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji secara tuntas cadangan pengurusan operasi penyediaan makanan secara langsung oleh agensi itu.
Beliau menerusi kenyataan di Facebook pada Rabu berkata kaedah pengurusan secara langsung oleh Mara pernah dilaksanakan sebelum penswastaan operasi penyediaan makanan diperkenalkan di MRSM pada era 1990-an. Kajian berkenaan perlu mengambil kira lima aspek utama bagi memastikan pengurusan penyediaan makanan dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa mengabaikan kebajikan pelajar demi keuntungan komersial.
Antara aspek yang perlu dipertimbangkan ialah menjamin kualiti, kebersihan dan keselamatan makanan pelajar serta memastikan kecukupan nutrisi dan kuantiti makanan yang dihidangkan. Selain itu, kajian juga perlu melihat aspek meningkatkan keberkesanan pemantauan dan kawalan mutu serta menilai penjimatan kos melalui pengurusan dan perolehan secara berpusat, tambah beliau.
Asyraf Wajdi berkata, aspek kebajikan pelajar turut menjadi pertimbangan penting dalam menilai cadangan pengambilalihan semula operasi berkenaan. Beliau menegaskan bahawa penyediaan makanan kepada anak-anak MRSM bukan semata-mata soal perniagaan, tetapi soal amanah, kebajikan dan tanggungjawab.