MARA galak usahawan Bumiputera teroka servis EV dan diagnostik pintar

Sumber: Harian Metro
MARA galak usahawan Bumiputera teroka servis EV dan diagnostik pintar
Gambar: Harian Metro

Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mahu lebih ramai usahawan automotif Bumiputera meneroka peluang perniagaan dalam segmen berteknologi tinggi, termasuk perkhidmatan kenderaan elektrik (EV) dan sistem diagnostik pintar. Ketua Pengarah MARA, Ir Dr Mahzan Teh berkata, perkembangan teknologi automotif membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan melangkaui perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan secara konvensional. Beliau berkata, antara bidang yang semakin berkembang termasuk kenderaan autonomi, sistem diagnostik berasaskan kecerdasan buatan (AI), pembuatan pintar dan teknologi bateri. Katanya, perkembangan itu turut membuka peluang kepada usahawan Bumiputera untuk menceburi segmen automotif berteknologi tinggi yang memerlukan kemahiran dan kepakaran khusus.

"Sehubungan itu, MARA memberi penekanan kepada pembangunan ekosistem automotif yang menghubungkan usahawan dengan pemain industri bagi membantu mereka mengenal pasti peluang perniagaan dan kerjasama baharu," katanya dalam kenyataan. Mahzan berkata, sokongan MARA turut merangkumi penyediaan latihan dan pembiayaan bagi membantu usahawan meningkatkan keupayaan serta mengembangkan skala perniagaan masing-masing. "Kita mahu memastikan apabila wujud jaringan antara MARA, usahawan dan pihak industri, kita dapat memperluas serta meningkatkan skala perniagaan usahawan itu. "Bukan hanya tertumpu kepada kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan secara konvensional, tetapi turut meneroka bidang industri dan strategik dalam sektor automotif," katanya.

Beliau berkata, penganjuran MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2026 pada 27 hingga 29 November ini menjadi platform kepada usahawan untuk menjalin hubungan dengan pemain industri, selain mengenal pasti keperluan latihan dan sokongan bersesuaian. "MARA mahu lebih ramai usahawan automotif Bumiputera meneroka bidang seperti servis kenderaan elektrik dan diagnostik pintar. "Menerusi MATEC 2026, mereka boleh bertemu pemain industri dan mengenal pasti latihan serta sokongan yang sesuai untuk mengembangkan perniagaan," katanya. MATEC 2026 yang dijadual berlangsung di Perkarangan Parkir A dan B, Stadium Bukit Jalil, menyasarkan penyertaan usahawan automotif, pemain industri, pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta komuniti permotoran. Program yang menawarkan kemasukan percuma itu turut menampilkan pameran produk dan perkhidmatan automotif, pameran kenderaan serta sesi perkongsian ilmu.