Mangsa keganasan rumah tangga disaran kumpul bukti penderaan sejak awal

Kuala Lumpur: Mangsa keganasan rumah tangga disarankan mengumpul dan menyimpan bukti penderaan sejak awal, termasuk gambar kecederaan, rakaman video serta tangkap layar perbualan dan ugutan bagi membantu proses siasatan serta tindakan undang-undang terhadap pelaku. Cadangan itu disampaikan dalam perbincangan episod kedua audio siar Listen: Dengar, Fahami, Bertindak terbitan Bernama dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang disiarkan semalam.
Peguam Nor Zabetha Muhamad Nor berkata dokumentasi bukti amat penting kerana keganasan rumah tangga lazimnya berlaku secara berulang dan membentuk satu pola penderaan yang boleh membantu pihak berkuasa memahami keadaan sebenar yang dialami mangsa. Beliau menjelaskan bukti digital seperti tangkap layar perbualan menerusi aplikasi WhatsApp boleh dikemukakan dalam prosiding mahkamah, namun mangsa perlu memastikan maklumat penting seperti nombor telefon atau profil pengirim turut kelihatan. "Jika bimbang mesej berkenaan dipadam, mangsa boleh membuat rakaman skrin bagi menyimpan perbualan tersebut. Bukti juga tidak sepatutnya disunting atau diubah bagi memastikan ketulenannya terpelihara," katanya.
Beliau berkata mangsa juga digalakkan mengambil gambar kecederaan dengan jelas sebagai rekod termasuk memastikan wajah mereka kelihatan bagi membantu mengesahkan identiti individu yang mengalami kecederaan berkenaan. Selain itu, mangsa boleh menyediakan catatan kronologi kejadian yang merangkumi tarikh, masa dan bentuk penderaan yang dialami bagi memudahkan pihak berkuasa meneliti kejadian serta mengenal pasti pola keganasan.
Nor Zabetha menegaskan keganasan rumah tangga bukan sahaja melibatkan penderaan fizikal, malah merangkumi ugutan, mengurung mangsa, merosakkan harta benda, mengawal kewangan serta perbuatan menghina menerusi media elektronik. Beliau menjelaskan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 menyediakan beberapa bentuk perlindungan kepada mangsa, termasuk Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO). EPO boleh diperoleh melalui pegawai kebajikan masyarakat tanpa perlu melalui proses mahkamah, manakala IPO boleh dipohon ketika siasatan polis sedang dijalankan dan PO melalui proses perundangan apabila syarat ditetapkan dipenuhi. Perlindungan di bawah akta berkenaan turut meliputi lelaki, bekas pasangan serta anggota keluarga yang termasuk dalam takrifan undang-undang tersebut.
Dalam pada itu, beliau menekankan keselamatan mangsa dan anak-anak perlu diutamakan, khususnya apabila berlaku ancaman atau risiko kecederaan. "Mangsa yang berada dalam keadaan bahaya perlu segera mendapatkan bantuan polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pihak keselamatan di kawasan kediaman," katanya. Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menjadikan konflik rumah tangga sebagai bahan hiburan di media sosial, sebaliknya menghormati privasi serta menjaga kebajikan anak-anak yang mungkin terkesan akibat situasi berkenaan.
Berdasarkan statistik PDRM, sebanyak 7,391 kes keganasan rumah tangga direkodkan pada 2025 berbanding 7,116 kes pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 3.9 peratus. Audio siar Listen: Dengar, Fahami, Bertindak merupakan sebahagian daripada kempen advokasi hentikan keganasan rumah tangga anjuran Bernama dan KPWKM susulan rekod PDRM yang mencatatkan 5,862 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dari Januari hingga September tahun ini.