Malaysia sokong misi bantuan bencana ASEAN ke luar rantau, Ahmad Zahid
JAKARTA: Malaysia menyokong usaha menggerakkan misi bantuan kemanusiaan secara bersama oleh negara anggota ASEAN ke luar rantau dan bersedia membantu negara anggota yang dilanda bencana. Kenyataan itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14 di Jakarta, Indonesia pada Rabu.
Beliau menjelaskan misi berkenaan boleh dilaksanakan atas permintaan negara terjejas mengikut keperluan di lapangan dan kemampuan ASEAN dengan menghormati kedaulatan negara terbabit serta prinsip kemanusiaan. “Bagi memastikan komitmen ini dapat diterjemahkan kepada tindakan, latihan bersama akan dimanfaatkan untuk menguji cara negara anggota berkongsi maklumat, memohon bantuan dan menyelaras penyalurannya kepada komuniti yang terjejas,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan Malaysia menyokong cadangan memperkukuh kerjasama di peringkat menteri dengan Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, India dan New Zealand menerusi AMMDM Plus. Beliau berkata, Malaysia mahu setiap mesyuarat AMMDM Plus menghasilkan komitmen jelas untuk dilaksanakan menerusi latihan teknikal, perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi dan sokongan kepada pelaksanaan Program Kerja Perjanjian ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) 2026–2030.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyebut hasrat meneruskan penyaluran sumbangan sebanyak AS$100,000 (RM411,940) kepada Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi Pengurusan Bencana (Pusat AHA) bagi menyokong peranannya menyelaras bantuan bencana di rantau ini. “Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Pusat AHA untuk memperkukuh kesiapsiagaan serta mempercepat penyaluran bantuan,” tambahnya.
Beliau menegaskan komitmen yang dipersetujui di peringkat serantau perlu diterjemahkan kepada tindakan bersama dengan berkongsi maklumat risiko lebih awal, menyelaraskan persediaan antara negara dan menggerakkan bantuan segera apabila diperlukan. “Komitmen yang kita persetujui di peringkat serantau ini mesti diterjemahkan kepada tindakan bersama,” katanya.
Menurutnya, setiap amaran awal bencana perlu disusuli tindakan yang telah dipersetujui bagi memastikan agensi terlibat bersedia sebelum bencana berlaku. Beliau berkata, setiap agensi perlu mengetahui tindakan yang perlu diambil sebaik sahaja amaran bencana dikeluarkan, termasuk urusan pemindahan, penyediaan pengangkutan, pembukaan pusat pemindahan dan cara menggerakkan dana kecemasan.