Malaysia sasar pelaburan CCUS RM170 bilion menjelang 2050

Sumber: Harian Metro
Malaysia sasar pelaburan CCUS RM170 bilion menjelang 2050
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan pelaburan antara RM160 bilion hingga RM170 bilion dalam industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) menjelang 2050, menerusi pembangunan tiga hingga enam hab CCUS. Sasaran itu diumumkan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, pada pelancaran Pelan Hala Tuju CCUS Malaysia 2050 di Sidang Kemuncak Dekarbonisasi CCUS dan Hidrogen Asia Pasifik 2026, di sini, hari ini.

Industri itu diunjurkan menjana nilai ditambah kasar (GVA) terkumpul antara AS$200 bilion hingga AS$250 bilion, selain mewujudkan 150,000 hingga 250,000 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung apabila operasi mencapai tahap puncak.

Akmal Nasrullah berkata, 27 inisiatif digariskan menerusi pelan hala tuju berkenaan bagi merealisasikan hasrat Malaysia menjadi peneraju industri CCUS di rantau ini dan memacu pertumbuhan ekonomi hijau. Antara pencapaian awal yang disasarkan ialah suntikan karbon dioksida (CO2) pertama negara seawal 2030.

Beliau berkata, usaha merealisasikan peluang industri itu memerlukan pelaburan berterusan, kepastian kawal selia, penyertaan kukuh syarikat Malaysia dan pelaksanaan yang diselaraskan. Pelan itu turut mengandungi empat teras strategik, bermula dengan pembangunan hab CCUS berasaskan kluster di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Perkongsian infrastruktur untuk pengangkutan dan penyimpanan karbon pula berpotensi meningkatkan ekonomi skala serta mengurangkan kos, katanya. Tiga teras lain ialah menawarkan perkhidmatan pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) sebagai penyelesaian penyahkarbonan serantau, mengembangkan teknologi CCUS untuk kegunaan industri dan merancakkan ekonomi Pantai Timur.

Pelan berkenaan mengenal pasti potensi sumber penyimpanan melebihi 150 bilion tan CO2 di medan minyak dan gas yang sudah susut serta akuifer masin di Malaysia. Bagaimanapun, Akmal Nasrullah berkata, potensi itu hanya boleh diterjemahkan kepada perkhidmatan penyimpanan yang boleh dipercayai melalui penilaian tapak teliti, piawaian keselamatan tinggi dan pengurusan jangka panjang.

Empat projek utama dikenal pasti sebagai langkah awal pelaksanaan pelan itu. Antaranya Projek Pemerangkapan Karbon Nasional yang diterajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), bagi menunjukkan keupayaan pemerangkapan karbon di sebuah kemudahan besi dan keluli di Pantai Timur.

Projek CCS Luar Pesisir Pantai Timur atau Hab CCS Selatan pula dirancang diterajui PETRONAS bersama Mitsui dan TotalEnergies. Projek itu merangkumi terminal penerimaan di Kuantan, saluran paip luar pesisir sepanjang 245 kilometer dan penyimpanan di medan Duyong dengan kapasiti dirancang lima juta tan setahun.

Selain itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi Project Dragon dan Project Chlorobloom sedang meneroka kemungkinan menukar CO2 yang diperangkap kepada bahan api sintetik serta produk berasaskan alga. Malaysia juga berhasrat menjadi destinasi penyimpanan karbon rentas sempadan yang dipercayai bagi ASEAN dan rantau Asia Pasifik, dengan mengambil inspirasi daripada projek Northern Lights di Norway.

Akmal Nasrullah berkata, syarikat Malaysia perlu berpeluang menjadi pembekal, berinovasi dan berkembang seiring industri itu. Beliau turut menekankan pemindahan teknologi, penyelesaian teknologi tempatan dan tenaga kerja berkemahiran sebagai sebahagian daripada cadangan pelaburan.