Malaysia sedia bantu negara ASEAN terjejas bencana, kata Zahid

TANGERANG: Malaysia bersedia membantu negara anggota ASEAN yang dilanda bencana dan menyokong usaha menggerakkan bantuan kemanusiaan bersama di luar rantau ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Jakarta hari ini.
Dalam hantaran di Facebook, Zahid berkata bantuan boleh digerakkan atas permintaan negara terjejas, dengan mengambil kira keperluan serta keupayaan blok yang mempunyai 11 anggota itu.
Ketika menyampaikan kenyataan Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-14, beliau berkata persediaan menghadapi bencana perlu bermula sebelum tragedi berlaku. Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, menegaskan amaran awal perlu disusuli tindakan yang jelas supaya agensi, pihak berkuasa dan masyarakat mengetahui masa pemindahan perlu dimulakan serta bantuan dapat digerakkan segera.
Beliau berkata Malaysia memperkukuh kesiapsiagaan bencana melalui pembangunan Strategi Pengurangan Risiko Bencana Negeri di bawah Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan 2030. Strategi itu mengambil kira risiko dan keperluan setempat dalam perancangan pembangunan serta perlindungan perkhidmatan penting.
Malaysia turut menyokong kerjasama AMMDM Plus yang lebih erat dengan Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, India dan New Zealand. Kerjasama itu khususnya meliputi latihan teknikal, perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi serta pelaksanaan Program Kerja Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) 2026-2030.
“Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi Pengurusan Bencana untuk memperkukuh kesiapsiagaan dan mempercepat penyampaian bantuan apabila perlu,” katanya.
Zahid tiba di Jakarta semalam selepas menamatkan jadual lawatannya di Bali. Lawatan kerja lima hari ke Indonesia itu bermula pada Isnin.