Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi era pascakuantum, kata Fahmi

Sumber: Astro Awani
Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi era pascakuantum, kata Fahmi
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memperkukuh persediaan menghadapi penghijrahan kuantum, khususnya dengan memberi tumpuan kepada komunikasi selamat kuantum bagi melindungi infrastruktur dan data digital negara, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi, menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), mengutamakan keselamatan infrastruktur digital negara, termasuk rangkaian telekomunikasi, menara dan kabel gentian optik.

Menurut Fahmi, perkembangan teknologi ketika ini menjadikan komunikasi selamat kuantum semakin penting bagi melindungi data yang disalurkan melalui rangkaian telekomunikasi dan gelombang mikro daripada diceroboh, dicuri atau digodam.

“Hal ini penting kerana yang kita lihat, trend dalam dunia sekarang lebih ke arah bukan hanya quantum cryptography, tapi juga komunikasi selamat kuantum untuk memastikan segala data yang kita salurkan sama ada melalui talian telekomunikasi, dalam gelombang mikro dan sebagainya tidak boleh dipecah masuk, tidak boleh dicuri atau digodam oleh penjenayah,” katanya.

Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan NEXSEC 2026: Memperkasa Ketahanan Siber Melalui Kolaborasi, Inovasi dan Pembangunan Kompetensi di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Beliau berkata sudah mengarahkan MCMC mengadakan perbincangan meja bulat berkaitan penyelidikan dan pembangunan serta tindakan susulan. Perbincangan itu akan membabitkan kebanyakan pengendali rangkaian mudah alih, syarikat infrastruktur telekomunikasi dan syarikat menara telekomunikasi.

Usaha berkenaan bertujuan meneliti persediaan menghadapi cabaran era pascakuantum. Fahmi berkata seni bina maklumat negara perlu bersedia menghadapi teknologi yang semakin kompleks, lebih-lebih lagi ketika dunia menghampiri era itu.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau turut menegaskan keperluan memberi perhatian lebih serius kepada keselamatan seni bina maklumat dan komunikasi selamat kuantum. Menurutnya, usaha mengukuhkan keselamatan infrastruktur digital memerlukan perancangan kewangan dan pengagihan sumber yang teliti kerana pembangunan teknologi berkenaan menelan kos tinggi.

“Tidak ada gunanya kita memiliki infrastruktur atau seni bina maklumat bertaraf dunia sekiranya tidak disertai dengan keselamatan siber yang juga bertaraf tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata kerajaan akan meneruskan dasar dwirangkaian 5G untuk memberikan keyakinan kepada pengguna dan memastikan kesinambungan perkhidmatan sekiranya satu rangkaian mengalami gangguan.

“Dasar dwirangkaian ini juga memberikan satu aspek yang disebut redundancy. Sekiranya apa-apa berlaku kepada satu rangkaian, maka rangkaian kedua boleh diaktifkan,” katanya.

Beliau juga meminta kedua-dua rangkaian mengadakan perbincangan supaya pengguna dapat terus menerima perkhidmatan daripada rangkaian alternatif jika berlaku kecemasan atau gangguan.

NEXSEC2026, anjuran MCMC, berlangsung hari ini dan esok. Program itu menghimpunkan wakil kerajaan, agensi keselamatan, industri, institusi pengajian tinggi dan negara anggota ASEAN bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta daya tahan siber negara.

Pada program itu, MCMC turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA). Kerjasama itu bertujuan meningkatkan perkongsian maklumat mengenai ancaman siber, penyelarasan tindak balas dan pembangunan keupayaan, selaras dengan fungsi serta bidang kuasa setiap agensi.

Laporan rasmi Global Anti-Scam Alliance (GASA), “State of Scams”, turut diserahkan kepada Fahmi. Laporan itu menganggarkan kerugian akibat penipuan di Malaysia mencecah RM19.7 bilion dalam tempoh setahun, sekali gus menekankan kepentingan memperkukuh usaha pencegahan dan perlindungan pengguna.

Fahmi berkata NEXSEC 2026 menjadi platform untuk mengetengahkan perkembangan keselamatan siber serta membolehkan kerajaan dan industri bertukar pandangan mengenai cabaran semasa dan langkah menanganinya.

Beliau berkata laporan GASA itu turut mendokumentasikan usaha kerajaan membanteras penipuan dalam talian, termasuk langkah MCMC dan syarikat telekomunikasi pada peringkat rangkaian. Walaupun beberapa usaha menunjukkan hasil, katanya, penjenayah akan terus mencari ruang baharu.

“Sebahagian daripada usaha ini telah membuahkan hasil, namun seperti yang boleh disahkan oleh rakan-rakan kita daripada Polis Diraja Malaysia, apabila satu pintu ditutup, pihak yang berniat jahat ini akan mencari pintu lain, tingkap lain atau celahan kecil untuk menyusup masuk,” katanya.