Malaysia perkukuh teknologi kuantum dan perubatan regeneratif

Sumber: Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Malaysia mempergiat penerokaan teknologi masa hadapan, termasuk teknologi kuantum dan pembangunan fasiliti perubatan regeneratif, bagi memperkukuh ketahanan ekonomi negara ketika berdepan ketidaktentuan kewangan serta gangguan rantaian bekalan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemerkasaan ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) menjadi agenda utama Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikannya hari ini.

Beliau berkata perancangan strategik itu penting supaya keupayaan STI negara dapat dimanfaatkan untuk mencari penyelesaian terhadap cabaran ekonomi. Kenyataan itu disampaikan menerusi hantaran di laman X hari ini.

Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan ialah usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global (GII) melalui penjajaran indikator STI, selain pembangunan Biofoundry Perubatan Regeneratif Nasional.

Pembangunan fasiliti itu dirancang menerusi kerjasama Bioeconomy Development Corporation (BEC) dan BioVerde Technologies Sdn Bhd (BVT) Sarawak. Mesyuarat turut meneliti hala tuju pembangunan teknologi kuantum negara.

Anwar berkata beliau mahu setiap inisiatif diberikan perhatian dan dipantau secara berterusan, agar pelaksanaannya mengikut garis masa yang ditetapkan serta membawa manfaat nyata kepada rakyat dan negara.

MSN berfungsi sebagai platform tertinggi di peringkat nasional untuk menyelaras hala tuju dasar STI merentas kementerian dan agensi. Peranan itu sejajar dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.