Malaysia masih pertimbang eksport nadir bumi ke China, kata menteri

Kuala Lumpur: Malaysia masih meneliti permohonan untuk mengeksport karbonat nadir bumi ke China, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup. Beliau berkata negara ini sebelum ini pernah mengeksport karbonat nadir bumi ke China, tetapi penghantaran berkenaan dihentikan, manakala beberapa permohonan eksport ke Amerika Syarikat (AS) telah diluluskan. "Kita masih mempertimbangkan sama ada eksport berkenaan akan diteruskan," katanya pada sidang media bersama Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Ekonomi ASEAN, Satvinder Singh, sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Mineral Kali Ke-11 di sini, hari ini.
Menurut beliau, laporan pada 27 Oktober lalu menyatakan DTEC Mineral and Metal Technology, sebuah syarikat yang majoriti pemilikannya pihak AS, memperoleh permit untuk mengeksport sehingga 700 tan karbonat nadir bumi dari Perak ke AS bagi tujuan penyelidikan. Syarikat berkenaan mendakwa kelulusan itu adalah yang pertama diberikan di bawah peraturan eksport Malaysia yang disemak semula. Malaysia mengekalkan moratorium terhadap eksport bahan nadir bumi mentah yang belum diproses sejak 1 Januari 2024 bagi membangunkan industri pemprosesan dalam negara.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum ini memaklumkan moratorium itu akan terus berkuat kuasa sehingga 2027 dan dikekalkan dalam tempoh sederhana selepas itu. Garis panduan yang dikeluarkan awal bulan ini membenarkan eksport secara bersyarat bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) atau pemprosesan, dengan syarat syarikat terbabit komited membangunkan kemudahan pemprosesan di Malaysia dalam tempoh tiga tahun selepas kelulusan eksport diberikan.
Mengenai pengaruh geopolitik terhadap pelaburan sektor mineral, Satvinder berkata ASEAN mengalu-alukan penyertaan syarikat dari China dan negara Barat.