Malaysia kenal pasti 274,887 tan metrik sumber REE terukur hingga 2025

Sumber: Astro Awani
Malaysia kenal pasti 274,887 tan metrik sumber REE terukur hingga 2025
Gambar: Astro Awani

Kuala Lumpur mengenal pasti sebanyak 274,887 tan metrik sumber unsur nadir bumi (REE) terukur sehingga 2025, hasil kajian eksplorasi susulan yang dilaksanakan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata usaha meningkatkan tahap keyakinan terhadap anggaran sumber REE negara akan diteruskan menerusi projek penilaian potensi sumber REE fasa kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030. Projek bernilai RM38.49 juta itu melibatkan kawasan penilaian seluas 160 kilometer persegi di 10 negeri.

“Bagi 2026 sebanyak RM9 juta ringgit telah diperuntukkan bagi penilaian kawasan seluas 30 kilometer persegi di enam negeri dan hingga Oktober 2026, sasaran keluasan kawasan penilaian tersebut telah dicapai sepenuhnya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berkaitan pelan kerajaan membangunkan sumber REE negara secara terkawal dan mampan, termasuk negeri yang mempunyai sumber REE terbesar, anggaran rizab, nilai ekonomi, kaedah perlombongan serta mekanisme pemantauan alam sekitar.

Arthur berkata berdasarkan kajian tinjauan awal JMG, Malaysia dianggarkan mempunyai sumber REE sebanyak 16.1 juta tan metrik, dengan taburan terbesar dikenal pasti di Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang dan Kedah. “Walau bagaimanapun, angka tersebut merupakan anggaran sumber teragak dan bukannya rizab mineral yang telah disahkan berdaya maju untuk dilombong secara komersial. Malaysia tidak seharusnya hanya bergantung kepada kekayaan sumber mineral semata-mata, sebaliknya perlu berupaya menguasai teknologi dan membangunkan keseluruhan rantaian nilai industri bagi memaksimumkan pulangan ekonomi kepada negara dan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerjasama antara Lynas Rare Earth dengan JS Link Incorporated dari Korea Selatan menerusi perjanjian kerjasama jangka panjang bernilai RM1 bilion pada Julai lepas menyaksikan pembangunan kilang pembuatan magnet kekal di Kuantan, Pahang. Kilang itu dirancang mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 3,000 tan metrik setahun dan berpotensi mewujudkan hingga 700 peluang pekerjaan baharu.

Sementara itu, Arthur berkata Malaysia akan memanfaatkan kerjasama ASEAN bagi memperkukuh rantaian nilai industri mineral kritikal negara dengan memudah cara pelaburan, peluasan akses pasaran dan perkongsian teknologi serta kepakaran. “Sebelum ini Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Mineral (AMMin) hanya diadakan tiga tahun sekali. Tetapi mulai tahun ini apabila kita (Malaysia) menjadi tuan rumah, mesyuarat ini diadakan setiap tahun supaya semua negara anggota ASEAN boleh memberi penekanan lebih tinggi kepada pembangunan sektor mineral serantau,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat AMMin ke-11 yang berlangsung di ibu negara semalam akan diterjemahkan kepada strategi pembangunan industri mineral kritikal negara.