Malaysia kekal peneraju pasaran IPO Asia Tenggara tahun depan

Sumber: Harian Metro
Malaysia kekal peneraju pasaran IPO Asia Tenggara tahun depan
Gambar: Harian Metro

Kuala Lumpur dijangka terus menjadi antara pasaran tawaran awam permulaan (IPO) utama di Asia Tenggara pada 2027, dengan sokongan daripada saluran penyenaraian syarikat yang tersedia, aktiviti berterusan di Pasaran ACE Bursa Malaysia serta minat pelabur terhadap syarikat berkualiti. Ketua Perkhidmatan Pasaran Modal Deloitte Asia Tenggara, Tay Hwee Ling, berkata prospek pasaran IPO serantau kekal positif tahun hadapan meskipun makroekonomi, geopolitik dan ketidaktentuan pasaran boleh mempengaruhi masa serta skala penyenaraian baharu. Beliau menambah bahawa Malaysia dijangka terus memainkan peranan penting dalam pasaran IPO serantau, manakala Singapura dijangka memperkukuh kecairan pasaran, penyertaan pelabur dan peluang penyenaraan rentas sempadan melalui pembaharuan pasaran yang sedang dilaksanakan.

Dalam sidang media IPO Asia Tenggara Deloitte 2026 secara maya yang diadakan hari ini, Tay berkata pasaran IPO Asia Tenggara menunjukkan daya tahan di tengah-tengah keadaan pasaran yang tidak sekata pada 2026, disokong urus niaga penting di Malaysia dan Singapura, aktiviti penyenaraian baharu di Vietnam, serta minat berterusan dalam sektor teknologi, penjagaan kesihatan dan pengguna. Bagi Malaysia, sebanyak 57 IPO berjaya dilaksanakan sepanjang tempoh 10 bulan setengah 2026, mengumpulkan dana kira-kira AS$1.8 bilion (RM7.41 bilion), meskipun jumlah penyenaraian itu sedikit rendah berbanding 59 IPO pada 2025.

Wong Kar Choon, Rakan Kongsi Perkhidmatan Pasaran Modal Deloitte Malaysia, berkata pencapaian itu mencerminkan daya tahan pasaran modal negara yang berjaya meneruskan momentum dibina sejak tahun lalu, selain menunjukkan perubahan dari segi skala dan komposisi syarikat yang memasuki pasaran saham. Beliau menambah bahawa peningkatan nilai dana yang dikumpulkan meskipun jumlah IPO berkurangan menunjukkan pasaran semakin memberi tumpuan kepada penyenaraian berskala besar dan berkualiti berbanding mengejar jumlah penyenaraian semata-mata. "Jika dilihat kepada saiz purata urus niaga IPO di Malaysia bagi tahun kewangan ini, nilainya mencecah kira-kira AS$31 juta (RM127.7 juta), meningkat 29 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Kar Choon juga menegaskan bahawa peningkatan itu didorong kemunculan IPO berskala besar, sumbangan lebih tinggi daripada syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama serta peralihan kepada penyenaraian yang lebih berkualiti. Malah, permodalan pasaran IPO Malaysia meningkat kepada AS$9.72 bilion (RM40 bilion) pada 2026 berbanding AS$5.61 bilion (RM23.1 bilion) pada 2025, memperlihatkan peningkatan nilai syarikat yang berjaya memasuki pasaran modal negara. Berdasarkan laporan Pasaran Modal IPO Asia Tenggara Deloitte, Malaysia merekodkan jumlah IPO tertinggi di rantau ini dengan 57 penyenaraian, mewakili kira-kira 64 peratus daripada keseluruhan 89 IPO di enam pasaran utama Asia Tenggara.

Dari segi perbandingan rantau, Singapura merekodkan 11 IPO, Vietnam tujuh, Indonesia tujuh, Thailand lima dan Filipina dua penyenaraan sepanjang tempoh sama. Dari segi kutipan dana, Malaysia mengumpulkan kira-kira AS$1.8 bilion atau 35 peratus daripada keseluruhan AS$5.11 bilion (RM21.04 bilion) yang diraih pasaran IPO Asia Tenggara pada 2026. Singapura menyumbang AS$1.29 bilion (RM5.3 bilion) atau 25 peratus, manakala Vietnam mengumpulkan AS$942 juta (RM3.88 bilion) atau 18 peratus, menjadikan ketiga-tiga pasaran itu menyumbang kira-kira 78 peratus daripada keseluruhan dana IPO serantau. Filipina pula menyumbang AS$956 juta (RM3.94 bilion) atau kira-kira 19 peratus daripada jumlah keseluruhan, sebahagian besarnya disokong satu urus niaga IPO berskala besar.

Dalam laporan itu juga dinyatakan bahawa sektor produk pengguna dan produk perindustrian terus menjadi penyumbang utama kepada aktiviti penyenaraian Malaysia, dengan kedua-duanya merangkumi kira-kira 70 peratus daripada jumlah IPO. Bagi 2026, sektor pengguna merekodkan 22 IPO berbanding 15 pada 2025, manakala produk perindustrian mencatatkan 18 penyenaraian berbanding 25 sebelumnya. Kar Choon berkata, ini mencerminkan keupayaan pembuatan Malaysia yang kukuh, ekosistem PKS, serta sektor peruncitan yang terus menjadi asas kepada pasaran IPO negara.