HalalBio+ perkukuh potensi Malaysia sebagai hab bioteknologi halal

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi berkembang sebagai hab pembangunan produk bioteknologi dan berasaskan bio yang memenuhi piawaian halal global menerusi program Halal Bio Plus (HalalBio+), yang diperkenalkan oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) pada pelancaran platform Bio-Link: Business Growth Acceleration di sini, hari ini.
Bioeconomy Corporation ialah agensi peneraju pembangunan ekonomi negara dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Bio-Link pula merupakan platform bersepadu untuk membantu syarikat tempatan mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing melalui sokongan pembangunan dan akses pasaran.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata HalalBio+ ialah antara inisiatif terbaharu yang melengkapkan Bio-Link. Program itu bertujuan membantu syarikat meningkatkan kesiapsiagaan halal, mempercepat persediaan mendapatkan pensijilan dan meneroka peluang pasaran yang lebih luas.
Beliau berkata program itu merangkumi tiga komponen utama, iaitu Halal Assessment, Halal Bootcamp dan Halal Coaching. Pelaksanaannya dibuat secara berperingkat dengan bimbingan Bioeconomy Corporation bersama rakan strategik berdaftar dengan Malaysia International Halal Academy (MIHA) di bawah JAKIM.
“Melalui pendekatan ini, syarikat dapat mengenal pasti jurang pematuhan, memahami keperluan pensijilan halal dan seterusnya menerima bimbingan yang bersesuaian bagi meningkatkan kesiapsiagaan mereka,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Bio-Link.
Mohammad Yusof berkata HalalBio+ bukan sahaja membantu syarikat mendapatkan pensijilan halal, malah memperkukuh daya saing melalui pembangunan kapasiti, kesiapsiagaan pasaran dan tadbir urus pematuhan. Inisiatif itu, katanya, selari dengan aspirasi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) untuk membangunkan industri bioteknologi dan halal bernilai tinggi, selain meluaskan pengkomersialan serta pasaran syarikat tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata program itu melangkaui bantuan pensijilan tradisional kerana turut menangani jurang pematuhan dan meningkatkan kesiapsiagaan komersial syarikat.
“Kami akan berusaha menarik lebih banyak syarikat untuk menyertai HalalBio+ menjelang 2027. Lebih penting lagi, kami ingin memupuk pemahaman yang lebih baik bahawa pematuhan halal merupakan amalan perniagaan penting yang memelihara integriti produk dan menyokong kemampanan jangka panjang,” katanya.
Naib Presiden Kanan Bahagian Sokongan Industri Bioeconomy Nora Mohamed berkata syarikat bioteknologi dan berasaskan bio dibantu meningkatkan kesiapsiagaan memenuhi keperluan halal melalui penilaian, latihan dan bimbingan praktikal. Usaha itu membolehkan syarikat mengenal pasti penambahbaikan yang diperlukan pada produk, bahan digunakan dan proses pengeluaran.
Beliau berkata halal perlu dilihat bukan sekadar keperluan untuk memperoleh sijil, tetapi juga nilai tambah kepada produk dan perniagaan. Produk yang memenuhi keperluan halal, katanya, berupaya meningkatkan keyakinan pengguna serta membuka lebih banyak peluang kepada syarikat untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.