MAIS pantau ajaran meragukan di media sosial, bimbang pengaruh terhadap anak muda

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) giat memantau ajaran dan fahaman meragukan di media sosial yang dikhuatiri mempengaruhi golongan muda Islam.
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin, berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai pasukan yang sentiasa menjalankan pemantauan serta pelbagai elemen siasatan berhubung perkara itu.
Menurutnya, anak muda paling dikhuatiri mudah terpengaruh dengan kumpulan tertentu, termasuk dari luar negara, sehingga boleh mengancam pegangan terhadap ajaran Islam sebenar.
Beliau memberi contoh fahaman New Age Movement, yang menurutnya boleh menyebabkan seseorang menganggap dirinya beragama Islam tetapi mengikuti amalan agama lain. Pendedahan kepada ajaran sedemikian melalui media sosial, katanya, boleh menghalang mereka daripada menghayati ajaran Islam.
“Jadi, menerusi penguatkuasaan, kami sentiasa memantau perkara itu dan tidak mahu kumpulan seumpamanya membesar sehingga menjadi tidak terkawal,” katanya.
Salehuddin berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas merasmikan Seminar Membina Ketahanan Ummah Masa Hadapan Peringkat Negeri Selangor 2026 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini. Turut hadir Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
Beliau berkata pemerhatian MAIS mendapati keadaan berkaitan ajaran sesat di Selangor masih terkawal. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Salehuddin berkata terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat yang menganggap ilmu tasawuf, termasuk penyucian jiwa, akhlak dan kerohanian, sebagai amalan asing daripada ajaran Islam.
Namun, katanya, ada pihak menggunakan istilah tasawuf, tarekat, hakikat dan makrifat untuk mengabsahkan fahaman yang menyimpang daripada ajaran sebenar.
“Tasawuf tidak sekali-kali mengetepikan tuntutan syariah, mengagungkan guru secara melampau atau menjadikan pengalaman kerohanian sebagai alasan untuk menyimpang daripada al-Quran dan al-Sunnah,” katanya.
Beliau berkata Fatwa berkaitan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diwartakan Selangor pada 17 Jun 2025 menetapkan pegangan dari sudut akhlak dan tasawuf berlandaskan manhaj Imam Junaid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali atau ulama sufi yang muktabar.
Terdahulu, Salehuddin melancarkan Modul Akidah Skuad Informasi Akidah Selangor, buku panduan khas untuk digunakan, khususnya oleh penceramah dalam program keagamaan bersama masyarakat termasuk pelajar sekolah.