Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Semakan Kehakiman Isu Subsidi Diesel

Sumber: Harian Metro
Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Semakan Kehakiman Isu Subsidi Diesel
Gambar: Harian Metro

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan dua lelaki untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung tindakan kerajaan memansuhkan dan mensasarkan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia dua tahun lalu. Hakim Norliza Othman membuat keputusan itu setelah mendapati permohonan pemohon gagal melepasi ambang kebenaran kerana perkara yang dicabar adalah keputusan polisi yang tidak boleh diadili.

Dalam penghakimannya, Norliza berkata tiada unsur pelanggaran Perlembagaan yang menuntut campur tangan mahkamah di peringkat ini, sambil menyatakan permohonan itu tidak mempunyai kes yang boleh dihujahkan untuk dibawa ke perbicaraan penuh. Beliau menegaskan bahawa keputusan kerajaan memansuhkan subsidi pukal dan memperkenalkan subsidi bersasar di Semenanjung, manakala mengecualikan Sabah, Sarawak serta Labuan, adalah keputusan bersifat fiskal yang mempunyai kesan ekonomi dan sosial.

“Mahkamah bersetuju dengan hujah Peguam Persekutuan bahawa mahkamah tidak seharusnya dilibatkan untuk mencampuri urusan sosial dan ekonomi yang sememangnya di dalam bidang kuasa dan budi bicara kerajaan demi kepentingan rakyat. Amnya, jika mahkamah mencampuri urusan pentadbiran yang dibuat oleh pihak eksekutif, ia bertentangan dengan doktrin pemisahan kuasa,” kata beliau.

Dalam penghakiman sama, Norliza turut menolak dakwaan pemohon bahawa pengecualian kepada Sabah, Sarawak dan Labuan sebagai diskriminasi yang melanggar hak sama rata di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Beliau berkata pengecualian itu dibuat berdasarkan pertimbangan objektif yang munasabah merangkumi kebergantungan tinggi penduduk di wilayah berkenaan terhadap kenderaan diesel berikutan faktor geografi dan taraf jalan raya. “Selain itu, ia mengambil kira risiko kesan rantaian kenaikan harga barangan yang lebih tinggi di sana serta tahap kesediaan dan akses maklumat bagi tujuan pemProfilan penyasaran subsidi,” katanya.

Mengulas dakwaan pemohon kononnya kerajaan gagal mematuhi formula Mekanisme Harga Automatik (APM) serta mengenakan caj tersembunyi melebihi 40 sen seliter bagi harga runcit diesel pada Ogos dan September 2024, beliau berkata pengiraan dikemukakan pemohon adalah tidak tepat. “Kiraan ini tidak mengambil kira tukaran mata wang semasa, khususnya dolar Amerika Syarikat (AS) kepada Ringgit dan anggaran nilai setong diesel. Dakwaan kerajaan mengenakan caj tersembunyi lebih 40 sen seliter adalah dakwaan serius dan memerlukan bukti kukuh, bukan sekadar andaian daripada ketiadaan jawapan responden terhadap notis mereka,” katanya.

Beliau turut menegur tindakan pemohon yang hanya bersandarkan laporan berita dan hantaran Facebook pihak ketiga sebagai bukti, selain mengemukakan tuntutan relif yang kabur serta gagal mematuhi keperluan prosedur di bawah Aturan 53 Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Mahkamah tidak menerima bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa permohonan berkenaan sudah bersifat akademik susulan penyasaran subsidi diesel secara seragam di seluruh negara mulai 1 Julai lalu, jelas Norliza.

Permohonan itu timbul susulan penetapan harga runcit diesel yang membabitkan pengguna di Semenanjung dengan pengecualian penuh untuk Sabah, Sarawak termasuk Labuan pada 10 Jun 2024. Permohonan itu difailkan Azhani Marlan dan Mohd Hatta sebagai pemohon pertama dan kedua di Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Oktober 2024. Mereka menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan; bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keenam. Dua pemohon itu diwakili peguam Mohaji Selamat, manakala semua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Salehuddin Md Ali.