Mahkamah lepas, bebas Yussaine Yahya kes pengajaran Islam tanpa kebenaran

Kangar: Mahkamah Rendah Syariah Kangar hari ini melepaskan dan membebaskan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perlis Yussaine Yahya daripada pertuduhan bersubahat berkaitan penganjuran program pengajaran agama Islam tanpa kebenaran pada 30 Mac 2023. Keputusan dibuat selepas hakim mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie serta penglibatan langsung tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Menurut penghakiman, Hakim Yusof Abd Manaf berkata mahkamah berpegang kepada peruntukan Seksyen 96(f) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Perlis, dan memerintahkan tertuduh dilepaskan serta dibebaskan tanpa dipanggil membela diri. Wang jaminan juga dikembalikan kepada penjamin.
Yussaine yang juga Yang Dipertua Pas Kangar didakwa bersubahat dalam penganjuran program pengajaran agama Islam tanpa kebenaran bertulis Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Pertuduhan itu didakwa dilakukan di Mahad Tahfiz al-Quran Al Imam An Nawawi (MATIN) di Kampung Abi Padang Machang, Jalan Abi Batas Paip di sini pada 10.15 malam, 30 Mac 2023.
Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie Mohd Husni Za'im Mohd Said dan Mohd Dzuhaili Mohd Dzakwan, manakala Yussaine diwakili Peguam Nur Iman Nor Azmi, Siti Hajar Ahmad serta Nurul Farhana Ideris.