MAG peroleh 10 unit Boeing 787 Dreamliner, sasar pemodenan armada

Kuala Lumpur: Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan pemerolehan 10 pesawat Boeing 787 Dreamliner secara langsung daripada Boeing sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memodenkan armada serta memperkukuh daya saing di pasaran antarabangsa. Pengumuman itu dibuat di sebuah majlis di Kuala Lumpur pada Rabu, selepas sidang media mengenai pemerolehan pesawat MAG.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar, berkata pilihan untuk mendapatkan enam pesawat tambahan turut disertakan, dan penghantaran 10 pesawat yang ditempah dijadualkan antara 2032 hingga 2035. Beliau menjelaskan pemilihan Boeing 787-10 dibuat selepas melalui beberapa penilaian merangkumi perancangan rangkaian penerbangan, pengalaman pelanggan, serta faktor ekonomi pesawat dan enjin.
Nasaruddin menambah pesawat baharu dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api MAG, membantu kumpulan itu mengurus kos operasi bagi penerbangan jarak jauh. “Ketika ini, pesawat baharu menunjukkan peningkatan kecekapan bahan api sekitar 12 hingga 14 peratus, manakala pesawat ini dirancang untuk mencapai peningkatan kira-kira 25 peratus berbanding generasi sebelumnya. Dengan kelebihan itu, kami dapat mengekalkan kos operasi,” katanya.
Dari segi nilai, Nasaruddin berkata nilai katalog bagi keseluruhan 16 pesawat, termasuk pilihan enam pesawat tambahan serta enjin, dianggarkan berjumlah AS$9.3 bilion (RM25.3 bilion) sebelum mengambil kira sebarang diskaun. Beliau menambah jumlah itu bukan nilai kontrak sebenar yang dibayar kerana MAG masih meneliti pilihan pembiayaan, termasuk kaedah jual dan pajak semula, pajakan operasi atau pajakan kewangan.
Pemerolehan itu juga akan menyokong penggantian secara berperingkat tujuh pesawat Airbus A350-900 milik MAG yang dijangka berusia antara 13 hingga 15 tahun ketika proses pembaharuan dilaksanakan antara 2032 hingga 2035. Dengan pengenalan Boeing 787, Malaysia Airlines bakal menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang mengendalikan varian pesawat berkenaan, yang dilengkapi enjin GE Aerospace GEnx-1B dan mempunyai kapasiti 319 tempat duduk dalam konfigurasi tiga kelas. Pesawat baharu itu dirancang untuk digunakan bagi laluan antarabangsa utama di Eropah dan Asia Pasifik, termasuk London, Paris, Sydney, Melbourne, Tokyo, Osaka dan Seoul, tertakluk kepada rangkaian dan keperluan operasi pada masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, MAG menyasarkan pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sekitar lima peratus setahun, dengan jumlah armada kumpulan dijangka meningkat daripada kira-kira 101 pesawat ketika ini kepada 129 pesawat menjelang 2035. Angka itu merangkumi keseluruhan operasi kumpulan termasuk perkhidmatan kargo dan Firefly.