MAG kurangkan kapasiti penerbangan kira-kira 6% bagi mengurus kos operasi

Kuala Lumpur: Malaysia Aviation Group (MAG) mengurangkan kapasiti penerbangannya kira-kira enam peratus tahun ini susulan peningkatan kos operasi, khususnya tekanan daripada kenaikan harga bahan api. Pengumuman itu dibuat selepas sidang media berkenaan pemerolehan pesawat Boeing 787 Dreamliner di sini pada hari Rabu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata langkah itu dilaksanakan secara terpilih untuk mengurus kos operasi dalam persekitaran industri penerbangan yang semakin mencabar. “Tahun ini, kami telah membuat pengurangan kapasiti secara terpilih, iaitu kira-kira enam peratus daripada kapasiti kami berikutan peningkatan kos operasi bahan api,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pengurusan kapasiti adalah penting bagi memastikan operasi kumpulan kekal mampan ketika berdepan tekanan kos, sambil mengekalkan keseimbangan antara permintaan penumpang dan keupayaan operasi. Tambah Nasaruddin, MAG akan terus mengambil pendekatan pertumbuhan yang berdisiplin bagi memastikan pengembangan perniagaan tidak menjejaskan kedudukan kewangan dan kecekapan operasi kumpulan.
Langkah pengurusan kapasiti itu mencerminkan pendekatan MAG dalam menangani peningkatan kos operasi, khususnya bahan api, sambil memastikan kelangsungan dan daya saing perniagaan penerbangan kumpulan berkenaan.