LTSIP berpotensi jadi sasaran sindiket penyeludupan dadah

Sumber: Astro Awani
LTSIP berpotensi jadi sasaran sindiket penyeludupan dadah
Gambar: Astro Awani

TUMPAT: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu berkemungkinan menjadi sasaran sindiket penyeludupan dadah yang beralih kepada lapangan terbang alternatif susulan kawalan ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata terdapat cubaan menggunakan lapangan terbang di Pulau Pinang dan Ipoh ketika kawalan di KLIA diperketatkan.

“Jadi kita percaya lapangan terbang lain juga akan menjadi sasaran sindiket ini,” katanya kepada pemberita selepas program Lawatan Kebajikan dan Penyerahan Replika Cek Insurans Kelompok Koperasi PDRM di Kampung Tengah Geting, Pengkalan Kubor, hari ini.

Menurut Hussein, cubaan beralih ke lapangan terbang alternatif menunjukkan sindiket sentiasa berusaha mengambil kesempatan terhadap peluang yang ada.

Justeru, beliau berkata kawalan keselamatan perlu diperketatkan secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu di KLIA, tetapi merangkumi semua lapangan terbang.

Hussein berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengambil dan akan melaksanakan beberapa langkah jangka pendek, sederhana serta panjang bagi meningkatkan kawalan keselamatan di semua lapangan terbang.

Langkah itu penting untuk menghalang sindiket daripada mengeksploitasi kelemahan sistem keselamatan atau memindahkan operasi ke lokasi lain apabila kawalan di sesuatu laluan dipertingkatkan, katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan perlu memperluas penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) dengan analitik kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kegiatan penyeludupan dadah di lapangan terbang lain.