Produk import murah dan berkualiti rendah banjiri pasaran, kata Johari

PETALING JAYA: Produk import yang dijual melalui platform e-dagang perlu memenuhi piawaian kualiti dan keselamatan sama seperti barangan buatan tempatan sebelum dipasarkan di Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Ghani.
Beliau berkata kawalan yang tidak ketat menyebabkan produk import berharga rendah tetapi berkualiti rendah membanjiri pasaran. Barangan tanpa pensijilan sah bukan sahaja boleh menjejaskan hak pengguna, malah berisiko mengancam keselamatan.
Menurut Johari, perbincangan telah diadakan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengenal pasti cara mengawal platform e-dagang.
“Orang ramai membayar untuk produk ini, tetapi tiada piawaian. Produk itu sudah rosak selepas hanya dua atau tiga bulan digunakan.
“Walaupun pada mulanya nampak berbaloi, hakikatnya produk itu tidak tahan lama,” katanya pada sidang media di luar sebuah acara Sirim di Kuala Lumpur hari ini.
Johari berkata MCMC akan mempertimbangkan tindakan terhadap platform yang gagal mematuhi piawaian kualiti. Penguatkuasaan syarat pensijilan bagi produk import, katanya, juga dapat memastikan persaingan yang lebih adil untuk pengeluar tempatan.
Beliau berkata pengilang tempatan perlu menanggung kos pensijilan bagi memastikan produk mereka memenuhi piawaian kualiti dan operasi mereka diiktiraf, sedangkan produk asing memasuki pasaran tanpa pensijilan berkenaan.
“Ini sebabnya harga mereka jauh lebih rendah,” katanya.
Johari berkata kerajaan akan terus menggalakkan pembelian dalam talian, sambil memastikan semua produk yang dijual kepada pengguna memenuhi piawaian ditetapkan.