LHDN unjur kutipan cukai langsung bersih RM199 bilion pada 2027

Putrajaya: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengunjurkan kutipan cukai langsung bersih kira-kira RM199 bilion pada 2027 dengan pertumbuhan sekitar enam peratus setahun berdasarkan perkembangan ekonomi dan industri. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya (Dasar) Rosnita Ahmad berkata unjuran ini bukan angka yang statik kerana prestasi kutipan boleh disemak berdasarkan perkembangan semasa, termasuk rekod bagi tahun ini yang telah disemak semula daripada RM187 bilion kepada RM191 bilion sebelum bayaran balik cukai.
Kalau kita tengok aliran, LHDN menetapkan satu KPI: peningkatannya sekitar enam peratus. Oleh itu, kita akan naikkan sekitar enam peratus kerana kadar pertumbuhan itu sejajar dengan keperluan untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), katanya kepada Bernama dalam temu bual hari ini. Untuk rekod, kutipan cukai langsung kasar LHDN bagi tempoh 10 bulan pertama 2026 (Januari hingga Oktober) meningkat 5.8 peratus kepada RM174.48 bilion berbanding RM164.92 bilion untuk tempoh sama pada 2025.
Rosnita memaklumkan empat sektor utama yang dipantau LHDN dalam menetapkan unjuran kutipan ialah minyak dan gas, pembangunan hartanah, pembuatan serta perkhidmatan. Beliau berkata LHDN turut bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia dengan mengambil kira laporan suku tahun dan perkembangan setiap sektor dalam menentukan sasaran kutipan. Katanya, apabila LHDN hendak menetapkan pencapaian KPI, aliran industri berbeza akan diambil kira, khususnya minyak dan gas, pembangunan hartanah, pembuatan dan perkhidmatan.
Beliau menambah sektor pembangunan hartanah terus menunjukkan perkembangan walaupun berdepan kesan konflik Asia Barat, manakala industri minyak dan gas terkesan daripada perubahan harga minyak serta peningkatan kos. Aktiviti huluan minyak dan gas menunjukkan peningkatan kutipan yang membantu mengimbangi kesan kepada aktiviti hiliran, dan dalam tempoh sama sektor pembuatan turut mencatat penurunan tetapi kembali menunjukkan peningkatan selepas keadaan konflik Asia Barat mula reda. Sementara itu, menurut Rosnita LHDN akan terus melihat aliran setiap industri bagi memastikan sasaran kutipan bersesuaian dengan perkembangan ekonomi.
"Ladang sasaran itu perlu dilihat secara keseluruhan kerana Malaysia mempunyai sistem cukai langsung dan tidak langsung yang masing-masing dikendalikan LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya. Beliau juga menyatakan bahawa usaha meningkatkan hasil turut melibatkan pelaksanaan e-Invois, Cukai Minimum Global, aktiviti pematuhan, audit dan siasatan serta tadbir urus cukai korporat. Katanya, LHDN juga mengunjurkan pelaksanaan e-Invois dapat membantu mengesan aktiviti ekonomi bayangan (perniagaan tidak berdaftar dan tidak berlesen) yang sebelum ini tidak membayar cukai. "Dalam masa dua tiga tahun akan datang, implikasi e-Invois kepada kutipan dan aliran kita akan dapat dilihat sejajar dengan peningkatan KDNK," katanya.
Rosnita berkata matlamat meningkatkan kutipan hasil bukan semata-mata untuk menambah jumlah cukai, sebaliknya memastikan rakyat memahami manfaat daripada hasil yang disalurkan kepada kerajaan. Menurutnya, pendidikan mengenai cukai perlu dimulakan lebih awal supaya rakyat memahami bahawa hasil cukai digunakan untuk membiayai sekolah, hospital, jalan raya dan kemudahan awam lain.