Lembaga Peperiksaan: Dakwaan kertas Pendidikan Moral SPM bocor tidak tepat

Sumber: Harian Metro
Lembaga Peperiksaan: Dakwaan kertas Pendidikan Moral SPM bocor tidak tepat
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Dakwaan kertas peperiksaan Pendidikan Moral Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bocor yang tular di media sosial hari ini tidak menepati tafsiran kebocoran soalan, menurut Lembaga Peperiksaan.

Lembaga itu berkata, penilaian berkenaan dibuat berdasarkan Dasar Pentaksiran Kebangsaan Edisi Ketiga Tahun 2023. Semakan mendapati hantaran berkenaan dikesan pada jam 11.44 pagi, selepas peperiksaan Pendidikan Moral tamat pada jam 10.45 pagi.

Bagaimanapun, Lembaga Peperiksaan menegaskan kertas peperiksaan itu ialah dokumen terperingkat berstatus sulit. Tindakan mengambil gambar, menyalin atau menyebarkan kandungannya tanpa kebenaran melanggar tatacara pengendalian dokumen terperingkat.

“Selain itu, ia boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, hantaran yang mendakwa kertas peperiksaan Pendidikan Moral SPM bocor tersebar di media sosial. Lembaga Peperiksaan berkata pihaknya mengambil maklum dan memandang serius dakwaan itu, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan.

Pemantauan di pusat peperiksaan turut dipertingkat dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Lembaga itu mengalu-alukan pihak yang terkesan membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Orang ramai juga digesa tidak menyebarkan maklumat atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan calon, ibu bapa serta masyarakat. Lembaga Peperiksaan berkata, pihaknya komited memelihara integriti, kerahsiaan dan kredibiliti peperiksaan awam serta melindungi kepentingan dan hak setiap calon.