Lelaki Malaysia ditahan disyaki terlibat penipuan panggilan polis di Thailand

Bangkok: Seorang lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand disyaki terlibat dalam sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai anggota polis sehingga menyebabkan seorang wanita warga emas kerugian sejumlah wang. Suspek berusia 36 tahun ditahan di sebuah hotel di daerah Lat Phrao selepas mangsa membuat laporan polis pada 9 November lalu. Polis memaklumkan waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Jenayah Thon Buri ke atas suspek yang disyaki bersubahat dalam penipuan dengan penyamaran identiti, menurut laporan Daily News.
Mangsa mendakwa menjadi mangsa selepas menerima panggilan telefon pada 12 Oktober daripada individu yang bertanya sama ada dia memesan ubat-ubatan berbahaya dan terlarang. Pemanggil kemudiannya mengarahkan mangsa membuat laporan di Balai Polis Mae Sot di Tak sekiranya pesanan berkenaan tidak benar, sambil memberikan nombor telefon untuk dihubungi. Mangsa kemudian menghubungi nombor tersebut dan diarahkan mengeluarkan wang simpanan untuk pemeriksaan dengan jaminan wang akan dipulangkan selepas didapati 'bersih'.
Seterusnya mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak 950,000 baht pada 14 Oktober, diikuti 2 juta baht pada 21 Oktober sebelum dia diberikan telefon bimbit didakwa milik kerajaan untuk digunakan khusus bagi tujuan berhubung. Penyerahan wang seterusnya melibatkan 3 juta baht pada 22 Oktober, diikuti 1 juta baht serta emas seberat 20 baht (304.8 gram) pada 7 November, menjadikan jumlah kerugian dilaporkan mencecah kira-kira 8.25 juta baht, kata polis.
Menurut pihak penyiasat, suspek mendakwa dia diupah seorang lagi lelaki warga Malaysia untuk mengambil bungkusan berkenaan dan tidak mengetahui isi kandungan sampul surat yang diserahkan kepadanya mengandungi wang tunai. Suspek berkata bungkusan itu dihantar ke tandas sebuah stesen minyak di laluan keluar Jalan Rama II di Samae Dam dan didakwa diarah mengelak kamera litar tertutup (CCTV) serta menyelitkan sampul surat di bawah pintu kubikel tandas tanpa melihat individu yang mengambilnya.
Pegawai penyiasat turut mengaitkan suspek dengan kutipan wang tunai sebanyak 1.95 juta baht daripada seorang penuntut universiti berusia 18 tahun di Bang Sao Thong, Samut Prakan. Mangsa didakwa melalui pemanggil yang menyamar sebagai kakitangan syarikat telekomunikasi dan anggota polis supaya mendapatkan wang daripada bapanya bagi pemeriksaan berkaitan satu kes jenayah, menurut laporan Khaosod. Siasatan lanjut masih dijalankan, kata polis.
Bagaimanapun, laporan pihak berkuasa tidak menyatakan sama ada wang tunai atau emas milik mangsa berjaya ditemukan semula atau identiti dalang utama sindiket berkenaan. Polis turut menasihatkan orang ramai, terutamanya warga emas, supaya tidak menyerahkan wang atau barangan berharga kepada individu yang menghubungi mereka dan mendakwa sebagai pegawai kerajaan; sebaliknya melakukan pengesahan terus dengan agensi berkaitan.