Lapan daerah Pantai Timur Sabah alami gangguan bekalan elektrik

KOTA KINABALU: Lapan daerah di Pantai Timur Sabah mengalami gangguan bekalan elektrik pagi ini, menurut notis pemakluman Sabah Electricity Sdn Bhd yang dimuat naik di laman Facebook rasmi syarikat itu.
Daerah terjejas ialah Tawau, Sandakan, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Beluran, Telupid dan Kinabatangan. Sabah Electricity memaklumkan pihaknya sedang mengenal pasti punca gangguan sebelum melaksanakan pemulihan bekalan secara berperingkat.
Syarikat itu berkata bilik gerakan sudah diaktifkan selepas insiden berkaitan penghantaran bekalan elektrik dikesan pada 6.04 pagi. Pasukan teknikal sedang berusaha memulihkan bekalan, terutama di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.
Punca sebenar kejadian masih dikenal pasti. Bagaimanapun, gangguan itu dipercayai berpunca daripada sebuah menara penghantaran elektrik yang tumbang di daerah Ranau.
Video berdurasi satu minit 51 saat mengenai kejadian itu turut tular di media sosial. Rakaman berkenaan menunjukkan kabel penghantaran elektrik merentasi jalan di Ranau selepas sebuah menara berhampiran tumbang.
“Sabah Electricity amat menghargai kesabaran anda dan segala kesulitan amat dikesali,” menurut notis syarikat itu. Sabah Electricity berkata kenyataan susulan akan dikeluarkan dan memaklumkan usaha pemulihan bekalan sedang dijalankan secara berperingkat.