Rampasan AKPS meningkat lebih empat kali ganda kepada RM322.74 juta

Sumber: Harian Metro
Rampasan AKPS meningkat lebih empat kali ganda kepada RM322.74 juta
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Nilai rampasan menerusi penguatkuasaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di pintu masuk negara meningkat kepada RM322.74 juta sehingga Oktober lalu, berbanding RM82.10 juta pada tahun pertama pengoperasiannya pada 2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pencapaian itu membabitkan 16,357 kes penguatkuasaan. Sektor Biosekuriti menyumbang nilai rampasan RM72.05 juta, manakala Sektor Kastam/Percukaian mencatat RM50.84 juta.

Antara lokasi yang merekodkan nilai rampasan termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas dengan RM21.37 juta, Pelabuhan Pulau Pinang (RM7.14 juta) dan ICQS Bukit Kayu Hitam (RM3.62 juta).

“Keberkesanan kawalan dan pemeriksaan bersepadu AKPS terbukti menerusi lonjakan prestasi penguatkuasaan yang ketara.

“Keseluruhan pencapaian ini membuktikan penubuhan AKPS bukan sekadar satu penstrukturan semula pentadbiran, malah reformasi institusi yang berimpak tinggi dalam memperkukuh keselamatan sempadan, memudah cara perdagangan serta pelancongan dan melindungi hasil negara,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada soalan lisan Rodziah Ismail (PH-Ampang) di Dewan Rakyat, semalam.

AKPS ditubuhkan susulan keputusan Jemaah Menteri pada 3 Januari 2024 dan diperuntukkan di bawah Akta Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860], yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2025. Agensi itu memulakan fasa rintis di ICQS Rantau Panjang pada tarikh sama sebelum diperluas ke 21 pintu masuk utama pada 1 Februari 2025.

Kini, AKPS menerajui kawalan di 123 pintu masuk aktif darat, udara dan laut di seluruh negara. Dari aspek tadbir urus, agensi itu menyatukan fungsi pemeriksaan dan penguatkuasaan enam agensi di bawah satu rantaian perintah bagi menangani budaya kerja secara silo.

Enam agensi berkenaan ialah Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Pelaksanaan Skim Perkhidmatan Kawalan dan Perlindungan Sempadan mulai 1 Julai 2026 melengkapkan penggabungan itu melalui tawaran opsyen pertukaran pelantikan. Ia turut disertai pengambilan sulung 408 pegawai, terdiri daripada 39 Penolong Penguasa dan 369 Pembantu Penguasa, untuk bertugas di pintu masuk baharu projek Rapid Transit System (RTS) Link di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura.

Saifuddin berkata, pemeriksaan penumpang dan barangan dipertingkat melalui integrasi teknologi, termasuk Sistem Saringan Awal Risiko Pengembara (APSS), pengisian Malaysia Digital Arrival Card (MDAC), semakan dokumen perjalanan dan tempahan penginapan yang lebih ketat. Penugasan pegawai secara omnipresence serta penyelia di laluan e-Gate turut dilaksanakan.

Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura di Kompleks Sultan Ibrahim, Bukit Chagar menjadi perintis model pintu masuk antarabangsa yang menggunakan pemeriksaan co-located atau pelepasan di satu lokasi. Projek itu dijangka mula beroperasi menjelang Februari 2027.

Dalam operasi keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Operasi Task Force Saringan 100 Peratus dijalankan bersama Aviation Security (AVSEC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKDM dan PERHILITAN dari 10 Ogos hingga 13 November 2026. Operasi membabitkan 10 destinasi utama itu memeriksa 4,569 penerbangan, 21,526 kru penerbangan, 483,119 pemeriksaan badan (pat-down) dan 711,160 bagasi daftar masuk.

Operasi berkenaan mengesan 16 barangan larangan dan menumpaskan 16 kes penyeludupan dadah bernilai RM34.89 juta, dengan berat keseluruhan 436.66 kilogram. Sementara itu, sehingga November 2026, seramai 27 pegawai dikenakan tindakan berhubung pelanggaran integriti membabitkan sindiket ‘counter setting’ dan ‘flying passport’. Daripada jumlah itu, 19 dibuang kerja manakala lapan lagi ditahan kerja susulan pertuduhan di mahkamah.