Pelan berfasa perkukuh keselamatan KLIA dan pintu masuk negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan pelan tindakan secara berfasa untuk memperkukuh kawalan keselamatan dan saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pintu masuk antarabangsa negara bagi mengelakkan pengedaran dadah secara besar-besaran berulang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Jemaah Menteri meluluskan Memorandum Bersama (MJM) Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung pelan itu pada 19 Ogos lalu.
Pelan tindakan penambahbaikan dan mitigasi keselamatan berkenaan mengandungi 17 syor substantif yang berteraskan tiga bidang utama, iaitu Keselamatan Penerbangan, Keselamatan Negara dan Sempadan serta Keselamatan Fizikal dan Perlindungan.
Pelaksanaannya dibahagikan kepada tiga tempoh: jangka pendek antara sifar hingga enam bulan, jangka sederhana antara enam hingga 24 bulan dan jangka panjang melebihi 24 bulan.
Bagi Fasa 1, kerajaan akan menutup kelompongan kawalan menggunakan kuasa, anggota dan aset sedia ada. Langkah yang dirancang termasuk mengetatkan tapisan e-Vetting bagi pas keselamatan, melaksanakan ujian dadah secara rawak terhadap juruterbang dan kru penerbangan serta mengadakan pusingan kerja berkala bagi petugas di zon terhad.
Fasa itu turut merangkumi peningkatan kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), cadangan menempatkan semula Unit K9 Narkotik PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di zon pelepasan khas serta kawasan bagasi berisiko, selain penyepaduan risikan pengembara menerusi Pusat Kawalan Imigresen Nasional (NICC).
Menurut Saifuddin Nasution, Fasa 2 memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan baharu dan perolehan aset strategik berteknologi tinggi. Antara syor ialah membekalkan pengimbas bagasi berkuasa tinggi dan pengimbas badan, memasang kamera litar tertutup (CCTV) dengan analitik kecerdasan buatan (AI), memperkukuh Unit K9 PDRM, menyepadukan data NICC serta meningkatkan latihan tenaga kerja berkemahiran khusus.
Bagi Fasa 3, kerajaan komited memodenkan dan mentransformasikan sistem keselamatan nasional secara menyeluruh. Langkah jangka panjang itu termasuk menggantikan pengimbas bagasi dan badan dengan generasi baharu berteknologi AI di semua pintu masuk negara, serta mengubah suai infrastruktur terminal dan kargo mengikut tahap risiko.
NICC juga akan ditegaskan sebagai pusat risikan nasional, manakala piawaian kawalan keselamatan seragam dan bersepadu akan diperluas ke semua pintu masuk udara, darat dan laut.
Beliau menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) di Dewan Rakyat mengenai langkah jangka pendek dan panjang kementerian bagi memastikan pengedaran dadah secara besar-besaran melalui KLIA tidak berulang.