Kebakaran selepas lori tangki terbalik di Mesir ragut 31 nyawa

KAHERAH: Seramai 31 orang maut manakala 21 lagi cedera dalam kebakaran selepas sebuah lori tangki membawa bahan api terbalik di lebuh raya utama di Mesir, Rabu. Kebakaran berlaku di atas sebuah terowong di daerah Al-Warraq, Giza, menurut Pejabat Pendakwa Raya Mesir.
Anggaran awal pihak berkuasa mendapati 27 kenderaan, termasuk kereta dan motosikal, hangus dalam kejadian itu. Pejabat Pendakwa Raya berkata jumlah mangsa dan kerosakan masih dinilai. Sampel DNA turut diarahkan diambil daripada mayat yang belum dikenal pasti bagi menentukan identiti mangsa.
Kementerian Kesihatan memaklumkan 39 ambulans dikerahkan untuk membantu operasi menyelamat. Video yang tersebar di media sosial menunjukkan kepulan asap tebal menjulang dari lokasi kejadian.
Saksi, Ali Youssef, berkata beberapa kenderaan terbakar bersama penumpang yang terperangkap di dalamnya. “Kereta-kereta itu hangus terbakar, termasuk orang yang berada di dalamnya. Mereka tidak sempat keluar. Kebakaran memusnahkan kenderaan dan orang di dalamnya,” katanya.
Rakaman Reuters dari lokasi menunjukkan beberapa jentera bomba, kereta dan bas mini yang hangus, motosikal terbakar serta serpihan bertaburan di sepanjang lebuh raya. Orang awam dan anggota keselamatan turut dilihat memeriksa kawasan itu, sementara sebuah jentolak mengalihkan kenderaan yang rosak.
Lebuh raya berkenaan menghubungkan beberapa lebuh raya utama di kawasan Greater Cairo, termasuk wilayah pentadbiran Kaherah, Giza dan Qalyubia. Kemalangan jalan raya kerap berlaku di Mesir, antara lain akibat pemanduan laju, penguatkuasaan peraturan trafik yang lemah dan keadaan jalan yang kurang memuaskan.
Agensi statistik kerajaan, CAPMAS, melaporkan kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat 10.8 peratus kepada 5,829 pada 2025, berbanding 5,260 pada tahun sebelumnya. Mesir memperluas rangkaian jalan raya sejak beberapa tahun kebelakangan ini melalui pembinaan lebuh raya dan jambatan untuk mengurangkan kesesakan serta menampung pertumbuhan penduduk dan peluasan kawasan bandar. Walaupun projek itu meningkatkan kelancaran trafik di beberapa kawasan, keselamatan jalan raya masih menjadi kebimbangan.