KPM teliti kemasukan kanak-kanak berusia tiga tahun ke tadika

Sumber: Harian Metro
KPM teliti kemasukan kanak-kanak berusia tiga tahun ke tadika
Gambar: Harian Metro

Sepang: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti cadangan membenarkan kanak-kanak berusia tiga tahun (kohort 3+) memasuki tadika bagi memperluaskan akses pendidikan awal. Usaha itu memerlukan penyelarasan peruntukan undang-undang berkaitan dengan kementerian dan agensi lain kerana pengurusan pusat penjagaan kanak-kanak turut melibatkan bidang kuasa kementerian lain, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, pihak kementerian sedang berusaha menyelaraskan undang-undang berkenaan bersama kementerian lain. "Jadi, kita sedang berusaha bersama kementerian lain untuk menyelaraskan undang-undang berkenaan. Jika semuanya sudah bersedia, kita akan membawa kertas ke Kabinet dan melalui proses berkaitan, termasuk kemungkinan pindaan undang-undang," katanya pada sesi Taklimat KPM bersama Media, di sini, hari ini.

Beliau turut mengulas mengenai penglibatan pengusaha tadika swasta, dengan berkata KPM telah mengadakan beberapa sesi libat urus bagi menjelaskan implikasi perubahan kohort susulan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun (kohort 5+) ke Tahun Satu. "Di pihak swasta, kita mengadakan beberapa sesi libat urus dengan tadika-tadika dan mereka faham apabila kohort 5+ masuk ke Tahun Satu, mereka masih mempunyai kohort 4+. Namun, di peringkat KPM, kita juga sedang berusaha untuk membolehkan kohort 3+ diambil di peringkat tadika dan kita akan mengangkat kertas cadangan itu," tambahnya.

Mohd Azam berkata penyelarasan perlu mengambil kira pengurusan pendidikan awal kanak-kanak supaya kesinambungan sistem pendidikan dan penjagaan kanak-kanak dapat dilaksanakan dengan teratur. Beliau menegaskan bahawa jika persiapan telah selesai, langkah seterusnya adalah pembentangan kertas cadangan tersebut kepada Kabinet melalui proses berkaitan.