KPM sasar wajibkan kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu pada 2029

SEPANG: Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang mewajibkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun Satu mulai 2029, selepas memberi pilihan kepada ibu bapa untuk menghantar anak masing-masing lebih awal pada 2027 dan 2028.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata tempoh tiga tahun itu akan digunakan untuk memastikan persediaan dari segi kurikulum, latihan guru, prasarana dan bilik darjah dilaksanakan secara berterusan sebelum dasar berkenaan diwajibkan.
Menurutnya, persiapan sudah dimulakan tahun ini bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar dan tidak terhenti sebelum mencapai sasaran.
“Apabila kita tetapkan wajib pada 2029, bermakna usaha ini akan dilaksanakan dari hari ini, 2026, sampailah 2029. Kita tidak mahu inisiatif yang sudah dirancang ini akhirnya terhenti sebelum dilaksanakan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada sesi Taklimat KPM bersama Media, di sini, hari ini.
Mohd Azam berkata, KPM yakin mampu melaksanakan dasar itu berdasarkan kekuatan sedia ada, termasuk penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang membolehkan bilik darjah dibina dalam tempoh tiga bulan mengikut keperluan.
Kementerian juga mempunyai beberapa mekanisme untuk mengurus penempatan murid, antaranya sistem persekolahan dua sesi dan penyuraian murid ke sekolah yang mempunyai bilangan enrolmen lebih rendah.
Beliau berkata, kurikulum sudah mengambil kira keperluan pembelajaran kanak-kanak berusia enam tahun, manakala latihan guru disesuaikan bagi memastikan mereka bersedia mengendalikan murid dalam lingkungan usia itu.
Katanya, dasar berkenaan bukan hanya bertujuan mempercepatkan kemasukan kanak-kanak ke sekolah rendah, malah mengambil kira perubahan cabaran pendidikan serta keperluan memanfaatkan potensi anak-anak pada usia lebih muda.
“Kita kini menuju kepada negara menua dan tidak boleh lewat dalam membuat persediaan menghadapi perubahan masa depan, termasuk perkembangan teknologi dan perubahan iklim. Anak-anak pada usia muda pun sudah mempunyai akses kepada pengetahuan dan maklumat yang luas. Jadi, potensi mereka perlu dimanfaatkan,” katanya.
Mohd Azam berkata, pendekatan itu turut bertujuan memastikan semua kanak-kanak memperoleh akses dan ekuiti pendidikan yang sama, tanpa bergantung kepada peluang tertentu seperti kelas lompat yang pernah diperkenalkan sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan dasar wajib kemasukan Tahun Satu bagi kanak-kanak berusia enam tahun turut memerlukan pindaan Akta Pendidikan 1966 (Akta 550).
Penerimaan ibu bapa terhadap pelaksanaan secara pilihan pada peringkat awal dilihat bercampur-campur, katanya, namun permintaan meningkat, termasuk rayuan, selepas mereka melihat persediaan yang dilakukan kementerian.
Beliau berkata, setiap rayuan akan diteliti berdasarkan kesediaan bilik darjah dan kapasiti penempatan di sekolah sebelum keputusan dibuat. KPM juga mempunyai unjuran awal mengenai keperluan tambahan bilik darjah, buku teks dan guru sekiranya permohonan meningkat pada 2028.
Setakat 30 September lalu, sebanyak 73,498 permohonan diterima membabitkan kanak-kanak kohort usia enam tahun yang memasuki Tahun Satu, manakala 418,151 permohonan adalah daripada kohort usia tujuh tahun.
Jumlah keseluruhan 491,649 permohonan itu adalah bagi pendaftaran Tahun Satu Kalendar Akademik 2027.