KPM tambah baik sistem pembesar suara sekolah seluruh negara

SEPANG: Kemudahan sistem pembesar suara (PA) di sekolah seluruh negara akan dinaik taraf bagi memastikan kualiti audio lebih baik ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijalankan. Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Mohd Azam Ahmad berkata cadangan itu telah dikemukakan dan akan dibawa semula kepada Pengarah Lembaga Peperiksaan untuk tindakan lanjut. “Insya-Allah, saya sudah mencadangkan satu peruntukan yang besar untuk membantu sekolah bagi memantapkan sistem PA ini. Memang sudah ada (cadangan peruntukan), tapi jumlah yang amat besar untuk kita berikan kepada sekolah-sekolah kita bagi memantapkan (prasarana) supaya isu-isu ini tidak lagi berulang,” katanya pada Sesi Taklimat Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Media di sini, pada Selasa.
Beliau menjelaskan penambahbaikan sistem PA penting bagi memastikan calon dapat mendengar dan memahami audio dengan jelas, khususnya ketika menduduki ujian mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Dakwaan mengenai masalah teknikal ketika Ujian Mendengar Bahasa Melayu bagi peperiksaan SPM 2026 sempat tular di platform media sosial, dengan pengguna Threads mendakwa audio ujian berkenaan tersekat-sekat hingga menjejaskan kelancaran calon menjawab peperiksaan. Dalam respons ringkas, Lembaga Peperiksaan menyatakan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.
Mohd Azam turut menegaskan bahawa gangguan audio yang tular tidak berlaku secara menyeluruh, sebaliknya melibatkan kes terpencil yang memerlukan perhatian serta tindakan sewajarnya. Beliau memohon pihak pengurusan peperiksaan di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kemudahan peperiksaan dinilai dan tindakan sewajarnya diambil. Pengetua sebagai pengurus peperiksaan sekolah serta pengurus peperiksaan di peringkat negeri perlu memastikan SOP dipatuhi, termasuk menilai kemudahan yang digunakan.
Mengulas lanjut, beliau berkata masalah yang dilaporkan tidak semestinya berpunca daripada kerosakan sistem audio, sebaliknya mungkin berkaitan keupayaan calon menangkap sebutan dan bunyi perkataan yang diperdengarkan. “Sebenarnya kadang-kadang bukannya audio tak dengar atau sebagainya, sebab kadang-kadang kena nilai bagaimana anak kita tak dapat tangkap dari segi sebutan dan bunyi. Semua itu akhirnya dikatakan audio tak baik. Memang perkara ini, dua tiga tahun dulu pernah dibangkitkan, bila kita nilai isunya ialah keupayaan anak-anak kita untuk menangkap sebutan ini terutama (bahasa) Inggeris,” katanya.