Kim Swee serah mandat kepada ahli PJBM buat pilihan

Petaling Jaya: Kehadiran dua pencabar bagi merebut jawatan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) tidak mencemaskan Datuk Ong Kim Swee, sebaliknya dilihat sebagai perkembangan positif untuk masa depan persatuan itu. Kim Swee berkata Azlan Johar dan Datuk Richard Nelson Scully turut menawarkan diri bagi jawatan tersebut membuktikan PJBM semakin mendapat perhatian dalam kalangan penggiat bola sepak tempatan. Beliau menegaskan persaingan menjelang pemilihan Sabtu ini perlu dilihat secara terbuka kerana setiap individu mempunyai hak untuk menawarkan diri dan mendapat mandat daripada ahli persatuan. "Apabila ada yang mahu bertanding, ia agak bagus kerana orang mula sedar tentang PJBM dan saya melihat perkara ini dalam bentuk positif. Kita adalah negara demokrasi, siapa saja boleh bertanding. Satu persaingan yang sihat, jadi buat masa sekarang biarlah pengundi yang buat keputusan," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini hari ini. Beliau juga mendedahkan sebelum ini menerima permintaan daripada beberapa pihak supaya terus menerajui PJBM sekurang-kurangnya untuk satu penggal lagi, namun tidak melihat kemunculan pencabar sebagai sesuatu yang perlu dibimbangkan, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada ahli untuk menentukan individu paling layak menerajui persatuan itu.
Pemilihan kali ini turut menyaksikan persaingan bagi beberapa jawatan penting apabila tujuh calon menawarkan diri untuk merebut empat kerusi Naib Presiden. Persaingan lebih besar turut berlaku bagi lapan kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) lelaki yang menyaksikan 16 calon mengemukakan pencalonan, manakala enam calon pula bersaing merebut dua kerusi Exco wanita. Bagaimanapun, dua jawatan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan apabila Razip Ismail dan Mohd Asri Ninggal muncul calon tunggal bagi mengisi kedua-dua posisi berkenaan.