Ketua keselamatan dalaman Hamas terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza

Naeem Abu Nahel, ketua perkhidmatan keselamatan dalaman Hamas, dilaporkan terkorban dalam serangan udara Israel di barat Bandar Gaza, menurut pihak berkuasa Gaza dan kerajaan Israel. Abu Nahel, berusia 50 tahun, didakwa menjadi sasaran dron ketika berada berhampiran kawasan perlindungan penduduk yang dipindahkan, menurut laporan BBC yang memetik Kementerian Dalam Negeri Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Menteri Pertahanan, Israel Katz, mengesahkan bahawa Abu Nahel telah “dihapuskan” dalam operasi ketenteraan itu. Selain itu, sekurang-kurangnya enam lagi rakyat Palestin turut terbunuh dalam dua serangan berasingan di Wadi Gaza dan al-Mawasi, termasuk seorang remaja lelaki serta dua anggota polis Gaza. Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan anggota terlibat dalam aktiviti ketenteraan, sebaliknya polis Gaza menuduh negara berkenaan sengaja menyasarkan pasukan keselamatan bagi mewujudkan keadaan tidak stabil di wilayah itu.
Menurut pihak tentera Israel, Abu Nahel mempunyai peranan penting dalam operasi keselamatan dalaman Hamas dan didakwa terlibat dalam serangan terhadap tentera serta orang awam Israel sepanjang konflik berkenaan. Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Gaza menyatakan pembunuhan itu berlaku selepas agensi tersebut berjaya mengekang kumpulan yang didakwa bekerjasama dengan Israel. Laporan BBC turut menyebut keganasan masih berterusan meskipun negara berkenaan dan Hamas mencapai gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat pada Oktober tahun lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 1,679 orang terbunuh dalam tempoh 13 bulan lalu, manakala Israel melaporkan enam tenteranya maut sepanjang tempoh sama. Konflik di Gaza bermula selepas serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023, dan sejak itu, lebih 74,740 penduduk Gaza terbunuh akibat serangan Israel menurut Kementerian Kesihatan Gaza.