Mahkamah lepaskan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perlis daripada tuduhan bersubahat

Sumber: Sinar Harian

Kangar: Mahkamah Rendah Syariah Kangar pada Rabu melepaskan dan membebaskan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perlis, Yussaine Yahya, daripada pertuduhan bersubahat berkaitan penganjuran program pengajaran agama Islam tanpa kebenaran pada 30 Mac 2023. Keputusan dibuat selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie serta penglibatan langsung tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Hakim Yusof Abd Manaf berkata, selaras peruntukan Seksyen 96(f) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Perlis, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri serta wang jaminan dikembalikan kepada penjamin. Yussaine, yang juga Yang Dipertua Pas Kangar, didakwa bersubahat dalam penganjuran program pengajaran agama Islam tanpa kebenaran bertulis Yang Dipertua MAIPs, di Mahad Tahfiz al-Quran Al Imam An Nawawi (MATIN).

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 46 dibaca bersama subseksyen 33(2) Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991, dengan hukuman maksimum denda RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan. Kes pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Husni Za'im Mohd Said dan Mohd Dzuhaili Mohd Dzakwan, manakala Yussaine diwakili Nur Iman Nor Azmi, Siti Hajar Ahmad serta Nurul Farhana Ideris. – Bernama