Kerajaan pertimbang peraturan lebih ketat terhadap lambakan barangan asing

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju mempertimbangkan peraturan lebih ketat bagi mengekang lambakan barangan murah yang dijual melalui platform e-dagang antarabangsa, khususnya dari China, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Rabu.
Beliau berkata persetujuan itu dicapai dalam Jemaah Menteri susulan kesan produk asing terhadap ekonomi makro negara dan kelangsungan syarikat kecil tempatan. Namun, langkah berkenaan bukan bertujuan menyekat sepenuhnya kemasukan barangan import kerana tindakan sedemikian bertentangan dengan dasar perdagangan negara.
“Apa yang kita mahu itu pelaburan, perdagangan, bukan lambakan barang-barang yang murah, dan ini membunuh beberapa syarikat kecil di lapangan,” katanya dalam program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri: “Di Sebalik Keputusan..” pada Rabu.
Anwar berkata kerajaan mahu mengambil langkah untuk mengehadkan lambakan itu, tanpa menghalang import yang bertambah. Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai pemantauan produk di platform berkenaan, termasuk mutu barangan, penipuan, etika pengiklanan dan status halal.
Menurutnya, kemasukan syarikat asing akan dibenarkan dengan syarat mereka bekerjasama dengan syarikat tempatan atau memberi jaminan terhadap mutu dan aspek kesihatan produk. Jaminan status halal juga perlu diberikan sekiranya sesuatu produk dinyatakan halal.
“Jadi sebab itu kita mula sekarang memberikan beberapa sekatan. Kita akan beri peluang mereka masuk dengan syarat ada syarikat-syarikat tempatan yang bersama ataupun dengan jaminan mutunya, kesihatannya dan juga kalau dia sebut halal, mesti harus dijamin halal,” katanya.
Anwar berkata isu itu turut dibangkitkan kepada kepimpinan China dalam beberapa siri lawatannya ke negara berkenaan. Presiden China, Xi Jinping, katanya, menyatakan kesediaan untuk membuka ruang bagi meningkatkan eksport barangan Malaysia ke China.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan iklan produk yang mutu dan kesesuaiannya belum terjamin. Anwar berkata kerajaan bertanggungjawab memantau pengiklanan, memastikan mutu barangan terjamin dan memperkukuh pendidikan pengguna supaya pembelian dibuat mengikut keperluan sebenar.
“Ini teori lama, Babylon's conspicuous consumption, kadang-kadang dia yang tidak perlu pun dia hendak beli juga kerana iklan yang meluas,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa perbelanjaan yang tidak sepadan dengan pendapatan boleh menambah beban hutang pengguna. “Kalau tidak, pendapatan dia kecil, barang yang dia beli itu banyak, jadi akan mengundang tanggungan hutang-hutang yang tinggi,” ujarnya.