Kerajaan lulus RM540,000 untuk 54 keluarga mangsa tragedi di Nepal

Sumber: Astro Awani
Kerajaan lulus RM540,000 untuk 54 keluarga mangsa tragedi di Nepal
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan bantuan khas berjumlah RM540,000 kepada 54 keluarga rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir dan tanah runtuh di Nepal pada 26 Ogos lepas. Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata setiap keluarga akan menerima bantuan sekali bayar itu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan kepada Keluarga Mangsa Banjir dan Tanah Runtuh di Nepal di Menara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sini hari ini.

Menurut Ramanan, pada 4 Nov lepas, PERKESO menyalurkan bantuan berjumlah RM174,000 kepada 28 keluarga pencarum yang layak. Bantuan khas yang diluluskan kali ini pula diperluas kepada semua 54 keluarga yang terlibat.

“Walaupun bantuan ini tidak mungkin dapat menggantikan ketenangan yang hilang, Kerajaan MADANI berharap bantuan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh ahli keluarga ketika ini,” katanya.

Ramanan berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) diberi mandat untuk menyelaras dan memantau permohonan serta tindakan susulan berkaitan kebajikan keluarga mangsa. Mandat itu menyusul pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan wakil Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) pada 20 Okt lepas.

Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di bawah KESUMA turut dipertanggungjawabkan membantu semua keluarga terlibat, khususnya bagi memastikan kebajikan dan keperluan mereka terus diberi perhatian sewajarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar, Kementerian Kewangan, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Pendaftaran Negara, PERKESO dan MITRA atas kerjasama dalam penyelarasan pengurusan bencana itu.

Sementara itu, Nurulhani Othman, 44, berkata bantuan RM10,000 yang diterimanya akan digunakan untuk melunaskan baki hutang suaminya, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, selain komitmen kewangan lain yang masih tertunggak.

Beliau bersyukur atas bantuan itu, namun berkata keutamaan baginya ialah mendapatkan sijil anggapan kematian suaminya supaya segala urusan yang masih tertangguh dapat diselesaikan.

“Saya sangat bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu. Namun, perkara paling utama bagi saya ialah sijil anggapan kematian itu. Jika boleh, saya berharap prosesnya dapat dipercepat kerana dokumen itu penting untuk menyelesaikan segala urusan yang masih tertangguh,” katanya.

Nurulhani berkata sepanjang 10 tahun perkahwinan mereka, Mohd Fakhrul Munir dikenali sebagai seorang yang tegas, pemurah dan suka membantu orang lain. Mereka juga berkongsi minat dalam aktiviti pengembaraan dan sering menjadikan Nepal sebagai destinasi percutian.

Selepas kejadian itu, Nurulhani berkunjung ke Nepal sebanyak dua kali, termasuk pada 28 Ogos lepas, dua hari selepas tragedi berkenaan. Beliau ke sana untuk melihat sendiri keadaan di lokasi dan mendapatkan perkembangan mengenai suaminya.

Bagi Dr Nurliyana Ismail, 40, kehilangan adik lelakinya, Muhammad Haziq Ismail, 36, masih sukar diterima sepenuhnya oleh keluarga. Pensyarah itu berkata beliau mula menyedari sesuatu tidak kena apabila mesej kepada adiknya dan sepupu mereka, Azman Karim, menerusi WhatsApp hanya menunjukkan “single tick”, sejurus berita bencana banjir di Nepal tersebar.

Nurliyana menyifatkan adiknya sebagai seorang yang ceria, manja dengan adik-beradik dan gemar memasak untuk keluarga. Pemergian jurutera kabel dasar laut yang baru ingin membina kerjaya itu amat dirasai mereka.

“Kalau diberi peluang untuk mengembalikan dia, saya memang mahukan adik saya semula. Namun, jika ini sudah tertulis sebagai takdirnya, kami sekeluarga reda,” katanya.

Mohd Fakhrul Munir, Muhammad Haziq dan Azman berada dalam kumpulan ekspedisi percutian yang sama ke Nepal dan Tibet ketika bencana itu berlaku.