Kerajaan lulus RM540,000 bantu 54 keluarga mangsa tragedi Nepal
KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan peruntukan RM540,000 bagi membantu 54 keluarga rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir dan tanah runtuh di Nepal pada 26 Ogos lalu. Bantuan khas itu akan diberikan secara sekali bayar kepada setiap keluarga, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
Beliau berkata, pada 4 November lalu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyalurkan bantuan berjumlah RM174,000 kepada 28 keluarga pencarum yang layak. Bantuan yang diluluskan kerajaan kali ini pula diperluas kepada kesemua 54 keluarga yang terlibat dalam tragedi berkenaan.
“Walaupun bantuan ini tidak mungkin dapat menggantikan ketenangan yang hilang, Kerajaan Madani berharap bantuan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh ahli keluarga ketika ini,” katanya.
Ramanan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan kepada Keluarga Mangsa Banjir dan Tanah Runtuh di Nepal di Menara PERKESO di sini pada Rabu.
Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) diberi mandat untuk menyelaras dan memantau permohonan serta tindakan susulan berkaitan kebajikan keluarga mangsa selepas pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan wakil Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) pada 20 Oktober lalu.
Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) di bawah Kesuma turut dipertanggungjawabkan membantu semua keluarga yang terlibat, terutama bagi memastikan kebajikan serta keperluan mereka terus diberi perhatian sewajarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar, Kementerian Kewangan, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Pendaftaran Negara, PERKESO dan Mitra atas kerjasama dalam menyelaras pengurusan bencana itu.
Sementara itu, Nurulhani Othman, 44, isteri kepada mangsa tragedi, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, berkata bantuan RM10,000 yang diterimanya akan digunakan untuk melunaskan baki hutang suaminya serta komitmen kewangan lain yang masih tertunggak.
“Saya sangat bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu. Namun, perkara paling utama bagi saya ialah sijil anggapan kematian itu. Jika boleh, saya berharap prosesnya dapat dipercepat kerana dokumen itu penting untuk menyelesaikan segala urusan yang masih tertangguh,” katanya.
Nurulhani berkata, sepanjang 10 tahun hidup berumah tangga, suaminya dikenali sebagai seorang yang tegas, pemurah dan suka membantu orang lain. Mereka turut berkongsi minat dalam aktiviti pengembaraan, termasuk sering memilih Nepal sebagai destinasi percutian.
Selepas tragedi itu, Nurulhani berkunjung ke Nepal sebanyak dua kali. Kunjungan pertama pada 28 Ogos lalu, dua hari selepas kejadian, dibuat bagi melihat sendiri keadaan di lokasi tragedi serta mendapatkan perkembangan mengenai suaminya.
Bagi Dr Nurliyana Ismail, 40, kehilangan adik lelakinya, Muhammad Haziq Ismail, 36, dalam tragedi berkenaan masih sukar diterima sepenuhnya oleh keluarga.
Pensyarah itu berkata, beliau mula menyedari sesuatu tidak kena apabila mesej yang dihantar kepada adiknya dan sepupu mereka, Azman Karim, menerusi aplikasi WhatsApp hanya menunjukkan ‘single tick’, sejurus berita mengenai bencana banjir di Nepal tersebar.
Nurliyana menyifatkan adiknya sebagai seorang yang ceria, manja dengan adik-beradik dan gemar memasak untuk keluarga. Pemergian Muhammad Haziq, seorang jurutera kabel dasar laut yang baru ingin membina kerjaya, amat dirasai mereka.
“Kalau diberi peluang untuk mengembalikan dia, saya memang mahukan adik saya semula. Namun, jika ini sudah tertulis sebagai takdirnya, kami sekeluarga reda,” katanya.
Mohd Fakhrul Munir, Muhammad Haziq dan Azman berada dalam kumpulan ekspedisi percutian yang sama ke Nepal dan Tibet ketika bencana itu berlaku. – Bernama