Kerajaan teliti cadangan dana kekayaan berasaskan AI untuk rakyat

Sumber: Harian Metro
Kerajaan teliti cadangan dana kekayaan berasaskan AI untuk rakyat
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji cadangan menubuhkan dana kekayaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) supaya manfaat ekonomi daripada perkembangan teknologi itu turut dinikmati rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Dialog Negara yang disiarkan malam ini.

Anwar berkata Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital diminta membuat kajian terperinci mengenai langkah yang boleh diambil, termasuk meneliti cadangan Senator Amerika Syarikat Bernie Sanders untuk menggubal undang-undang bagi menubuhkan dana AI dan membayar dividen kepada rakyat negara itu.

Beliau berkata, pada prinsipnya, beliau bersetuju dengan usaha memastikan rakyat mendapat manfaat daripada perkembangan AI. Anwar memberi contoh syarat gaji minimum yang perlu dipatuhi syarikat multinasional (MNC), walaupun ada yang pada peringkat awal membantah kerana menganggap kos upah di Malaysia rendah.

“Sekarang dia mesti terima kenyataan bahawa taraf hidup rakyat telah meningkat,” katanya dalam program yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan RTMKlik, selain disiarkan serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.

Anwar berkata Malaysia turut menetapkan syarat terhadap pelabur asing yang mahu memasuki sektor AI, termasuk penyediaan infrastruktur bekalan air dan latihan bagi meningkatkan penguasaan warga tempatan dalam teknologi berkenaan.

Beliau berkata, dalam pelaburan Google bernilai USD15 bilion, antara syarat yang ditetapkan ialah perbelanjaan RM600 juta untuk menyiapkan bekalan air di Negeri Sembilan. Syarikat itu juga perlu memastikan latihan diberikan kepada 1,000 anak tempatan, bukan sekadar pendedahan asas mengenai AI, tetapi meliputi penguasaan lebih tinggi melalui kerjasama, antaranya dengan Universiti Malaya.

Menurut Anwar, syarat sedemikian ditetapkan sebelum pelabur masuk, namun kerajaan perlu mempertimbangkan agar tuntutan yang dikenakan tidak terlalu membebankan sehingga menghalang kemasukan pelaburan. Pada masa sama, beliau berkata kerajaan perlu tegas memastikan pertumbuhan ekonomi tidak menyebabkan jurang antara rakyat semakin melebar.

Beliau berkata isu ketidaksamaan bukan hanya berkaitan AI, sebaliknya boleh berlaku dalam keseluruhan pertumbuhan ekonomi jika tiada campur tangan dan asakan daripada pimpinan politik negara. Perkembangan AI, katanya, boleh menyebabkan ketidaksamaan yang ketara dan perkara itu perlu dibendung.

Mengulas kesan perkembangan AI terhadap peluang pekerjaan rakyat tempatan, Anwar berkata kemunculan teknologi baharu serta kejutan dalam era pascanormal menimbulkan pelbagai permasalahan, termasuk dalam aspek kewangan. Bagaimanapun, kebijaksanaan manusia membolehkan cabaran yang bakal timbul dijangka dan penyelesaian dikenal pasti.

Beliau berkata jabatan kerajaan dan sektor swasta perlu diberi sokongan bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang seiring dengan perubahan teknologi. Program Dialog Negara itu turut menampilkan Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah Datuk Ahyat Ishak, Pengarah Strategi Kumpulan KRA Amir Fareed Rahim dan Pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif PlusVibes Group Dr Madiha Fuad, selain beberapa panel lain.