Kerajaan teliti cadangan dana kekayaan AI untuk manfaat rakyat
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkaji cadangan penubuhan dana kekayaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan rakyat Malaysia turut menikmati manfaat ekonomi daripada perkembangan teknologi itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital diminta menjalankan kajian terperinci mengenai langkah yang boleh diambil, termasuk meneliti cadangan Senator Amerika Syarikat Bernie Sanders supaya undang-undang digubal bagi menubuhkan dana AI dan membayar dividen kepada rakyat negara itu.
Anwar berkata, beliau bersetuju dengan prinsip memastikan hasil daripada perkembangan ekonomi dan teknologi turut membawa manfaat kepada rakyat. Beliau memberi contoh syarat gaji minimum yang perlu dipatuhi syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di Malaysia.
“Dari segi prinsip, saya setuju malah tidak tunggu tentang undang-undang. Umpamanya bila kita letakkan syarat gaji minimum tentunya (perkara itu) juga syarat yang harus dipatuhi oleh syarikat multinasional (MNC),” katanya.
Beliau berkata, MNC pada awalnya membantah syarat itu dengan alasan mereka datang ke Malaysia kerana kadar upah yang rendah. Namun, katanya, keadaan itu mungkin berlaku 30 tahun lalu dan taraf hidup rakyat kini sudah meningkat.
Anwar berkata demikian ketika menyertai program ’Dialog Negara’ yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan RTMKlik malam ini. Program itu turut disiarkan serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia menetapkan syarat tegas kepada pelabur asing yang mahu memasuki sektor AI. Antara syarat berkenaan ialah penyediaan infrastruktur bekalan air dan latihan bagi meningkatkan penguasaan warga tempatan dalam teknologi AI.
Beliau mengambil contoh pelaburan Google bernilai USD15 bilion. Katanya, syarikat itu perlu membelanjakan RM600 juta untuk menyiapkan bekalan air di Negeri Sembilan serta memastikan latihan diberikan kepada 1,000 anak tempatan.
Menurut Anwar, latihan itu bukan hanya berkaitan pengenalan kepada AI, sebaliknya turut melibatkan usaha mencapai tahap penguasaan lebih tinggi melalui kerjasama, antaranya dengan Universiti Malaya.
Beliau berkata, syarat tersebut ditetapkan sebelum pelabur masuk ke Malaysia. Bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan syarat yang dikenakan tidak terlalu banyak atau membebankan sehingga menyebabkan pelabur tidak datang.
“Kita harus tegas menunjukkan kesediaan kita mengundang pelabur tetapi jangan menyebabkan kesenjangan itu terus membengkak dan melebar,” katanya.
Anwar berkata, ketidaksamaan boleh berlaku dalam pertumbuhan ekonomi jika tiada campur tangan dan asakan daripada pimpinan politik negara. Perkembangan AI, katanya, turut boleh menyebabkan ketidaksamaan yang ketara dan keadaan itu perlu dibendung.
Mengulas kesan kemajuan AI terhadap peluang pekerjaan rakyat tempatan, beliau berkata kemunculan teknologi baharu serta kejutan dalam era pascanormal menimbulkan pelbagai permasalahan, termasuk dalam aspek kewangan.
Bagaimanapun, Anwar berkata kebijaksanaan dan kepintaran manusia membolehkan permasalahan yang mungkin timbul dijangka dan penyelesaian dikenal pasti. Jabatan kerajaan serta sektor swasta, katanya, perlu diberi sokongan untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu seiring perubahan teknologi.