Fahmi: Kepentingan rakyat teras kepimpinan Anwar

KUALA LUMPUR: Kepentingan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi teras kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, selepas menghadiri Dialog Negara bersama Perdana Menteri malam ini.
Fahmi berkata, tempoh empat tahun menerajui negara bukan perjalanan mudah. Namun, tekad untuk melaksanakan pembaharuan dan membina masa depan Malaysia yang lebih baik terus menjadi iltizam Anwar.
Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata perkongsian Perdana Menteri dalam program itu memperlihatkan kerangka pemikiran pemimpin yang berpaksikan rakyat ketika berdepan pelbagai cabaran dan menentukan hala tuju negara.
Program Dialog Negara Khas: “Di Sebalik Keputusan…” disiarkan pada 9 malam menerusi RTM dan saluran media tempatan. Panelis daripada pelbagai segmen masyarakat mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri mengenai dasar, pertimbangan dan keputusan kerajaan.
Antara perkara yang dibincangkan ialah jaminan hak penduduk asal dalam pembangunan semula bandar, perkhidmatan kesihatan awam dan pendidikan kesihatan mental di sekolah. Cadangan menubuhkan dana kekayaan berasaskan kecerdasan buatan turut disentuh.
Perbincangan itu juga merangkumi usaha membanteras rasuah, kebebasan bersuara mahasiswa, penempatan penjawat awam serta Pilihan Raya Umum ke-16.