Kakak berusia 40 tahun maut selepas dirempuh basikal elektrik, adik kasih bayaran akhir peti sejuk Jumaat ini

Sumber: Harian Metro
Kakak berusia 40 tahun maut selepas dirempuh basikal elektrik, adik kasih bayaran akhir peti sejuk Jumaat ini
Gambar: Harian Metro

Tanjong Karang: “Jumaat ini last (terakhir) kakak bayar hutang peti sejuk.” Itulah kata-kata terakhir Zaiton Mohd Nor, 40, kepada adik lelakinya, Ahmad Nazri, 35, sebelum wanita itu maut dalam kemalangan di Kilometer 67 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengah malam itu, mangsa yang menunggang basikal elektrik dirempuh sebuah kereta dan meninggal dunia selepas cedera parah di kepala. Ahmad Nazri berkata kakaknya yang juga ibu kepada enam anak berusia enam hingga 18 tahun itu kelihatan begitu teruja kerana dapat menamatkan bayaran bulanan barang elektrik berkenaan.

Ahmad Nazri berkata beliau mengetahui nahas itu daripada jiran selepas pulang dari tempat kerja. “Saya dan adik lelaki bergegas ke lokasi untuk pastikan betul atau tidak kakak terbabit kemalangan. Sebaik tiba, memang betul kakak sudah tiada. Jasadnya terbaring dan sudah bertutup,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Kajang Baru, di sini hari ini. Pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Parit Serong itu menambah arwah menggunakan basikal elektrik itu sejak beberapa bulan lalu untuk ke masjid, kedai atau menghantar anak ke sekolah.

Sebelum kemalangan, katanya, kakaknya menunjukkan perubahan termasuk banyak mendiamkan diri sedangkan dia seorang yang ceria dan peramah. Adik perempuannya turut memberitahu kakak berhasrat makan buah sukun namun buah itu tidak sempat dia jamah. Ahmad Nazri berkata jenazah kakaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Tanjong Karang kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin, berkata siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dalam perjalanan dari arah Klang ke Lumut, Perak. Beliau menjelaskan basikal elektrik mangsa dipercayai tiba-tiba mengubah haluan dari bahu kiri jalan ke lorong kanan, menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan basikal itu. Mohd Ambia berkata, impak kemalangan menyebabkan mangsa terjatuh di tengah jalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.