Kasih Pak Samad terhadap rakyat hidup menerusi karyanya, kata Anwar

Sumber: Harian Metro
Kasih Pak Samad terhadap rakyat hidup menerusi karyanya, kata Anwar
Gambar: Harian Metro

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa hiba dan sayu atas pemergian Sasterawan Negara ke-4, Datuk Seri A Samad Said, yang kembali ke Rahmatullah petang tadi. Beliau berkata kasih Allahyarham terhadap rakyat akan terus hidup menerusi naskhah agung serta kecekalannya dalam membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan. "Innalillahi wainnailaihi rojiun. Saya menerima khabar pemergian Sasterawan Negara, A Samad Said dengan rasa hiba dan sayu," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa beliau dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendoakan supaya keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan berdepan ujian berkenaan. "Kasihnya kepada rakyat akan terus hidup dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan. Azizah dan saya mendoakan semoga Allah SWT melimpahkan rahmat ke atas roh Pak Samad dan mengurniakan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan. Mendoakan segala dosanya dikurniakan keampunan dan rohnya diberi tempat istimewa disisiNya," katanya.

Terdahulu, A Samad Said, 91, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 6.05 petang tadi. Berita itu disahkan oleh anak keduanya, Helmy Abdul Samad menerusi perkongsian di Threads, yang menulis ringkas, "Innalillahi wainnailaihi rojiun". Allahyarham, yang dimasukkan ke wad HKL sejak petang semalam akibat sakit tua selain menghidap diabetes dan jangkitan paru-paru, dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka pada 9 April 1935 dan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985 atas sumbangan cemerlangnya dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.