Puteri Balqis perlukan RM35,000 untuk rawatan jantung

KUALA LUMPUR: Puteri Balqis Mohd Hanafi, kanak-kanak berusia dua tahun yang menghidap sindrom Down, memerlukan sumbangan orang ramai sebanyak RM35,000 bagi membiayai prosedur menutup salur darah tidak normal ke jantungnya di Institut Jantung Negara (IJN).
Pegawai Perubatan Kanan, Pusat Jantung Pediatrik dan Kongenital IJN, Dr Rozaina Md Said berkata, Puteri Balqis disahkan mengalami masalah kongenital sejak lahir, termasuk jantung berlubang. Namun, lubang itu sangat kecil dan mungkin tidak banyak menjejaskan kesihatannya.
Beliau berkata, masalah lebih membimbangkan ialah salur darah di luar jantung yang tidak normal dan tidak mengecut atau tertutup sendiri seiring tumbesaran kanak-kanak itu. Keadaan berkenaan dikenali sebagai Patent Ductus Arteriosus.
“Masalah timbul apabila salur itu semakin membesar dan ia dipanggil Patent Ductus Arteriosus, di mana darah ke paru-parunya akan mengalami tekanan tinggi dan menyebabkan dia bernafas terlalu laju,” katanya.
Dr Rozaina berkata, keadaan itu turut menyebabkan lekuk pada perut Puteri Balqis. Pengaliran darah berlebihan ke paru-paru boleh menyebabkan organ itu basah, sekali gus menjejaskan pernafasannya.
“Jadi, adik Puteri ini memerlukan rawatan untuk menutup saluran berkenaan bagi membantu dia bernafas dengan baik,” katanya. Jika rawatan dilakukan segera, pihak hospital akan memantau perkembangannya dan keadaan itu dijangka pulih secara berperingkat.
Ibu Puteri Balqis, Suraidah Hasan, 41, berkata anaknya perlu menggunakan mesin Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) apabila penat, walaupun dia tidak begitu aktif ketika berada di rumah.
Suraidah berkata, sebelum ini beliau hanya mengetahui anaknya mempunyai masalah jantung berlubang dan membawa Puteri Balqis menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB). Namun, pernafasan anaknya semakin teruk dan masih memerlukan mesin CPAP.
“Saya ingatkan nak buat susulan untuk hentikan mesin CPAP kerana dia semakin besar tetapi tidak boleh sebabkan masalah lain yang baru dikesan ini,” katanya.
Beliau berkata, keadaan Puteri Balqis turut menyukarkan anaknya makan dan menelan dengan kuat, manakala minum perlu dilakukan secara perlahan-lahan. Suraidah memohon bantuan orang ramai untuk menampung kos rawatan kerana suaminya hanya bekerja biasa. Keluarga itu menetap di Pontian, Johor.
Sumbangan boleh disalurkan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Bank Muamalat bernombor 1401 0008 8427 18. Cek hendaklah dibayar atas nama Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP, dengan nama penerima ditulis di bahagian belakang cek, dan dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Tingkat 5, Balai Berita Bangsar, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
Sumbangan kepada tabung itu layak mendapat pelepasan cukai di bawah Subseksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967. Nombor rujukannya ialah LHDN.AG.600-12/1/14-6.3902, dengan tempoh kuat kuasa dari 01 Januari 2026 hingga 31 Disember 2035.