Kajian kebangsaan perlu sebelum wajibkan kanak-kanak enam tahun masuk Tahun Satu pada 2029

Kuala Lumpur: Kajian menyeluruh bagi menilai kesan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu perlu dilaksanakan sebelum cadangan mewajibkan pelaksanaan dasar ini mulai 2029. Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata kajian itu perlu menilai sejauh mana langkah berkenaan memberi manfaat kepada murid daripada pelbagai latar ekonomi dan etnik, termasuk mereka yang tinggal di kampung dan pedalaman.
Sebelum satu dasar yang besar seperti ini dilaksanakan sepatutnya mesti ada satu kajian peringkat kebangsaan atau 'National Survey' bagi melihat sejauh mana dasar ini akan memberi manfaat dan kesan kepada murid enam tahun, katanya ketika dihubungi hari ini. Dapatan kajian ini boleh membantu Kementerian Pendidikan menentukan sama ada langkah ini wajar diwajibkan pada 2029 atau sekolah memerlukan lebih masa untuk membuat persediaan, jelas beliau.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad dipetik berkata usaha persediaan sudah dimulakan tahun ini bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar dan tidak terhenti di tengah jalan sebelum mencapai sasaran ditetapkan. Mohd Azam berkata KPM akan menggunakan tempoh tiga tahun itu bagi memastikan segala persiapan dari segi kurikulum, latihan guru, prasarana dan bilik darjah, dilaksanakan secara berterusan sebelum dasar berkenaan diwajibkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anuar menyifatkan langkah memulakan persekolahan pada usia enam tahun sebagai idea yang baik selepas ia dilaksanakan di banyak negara maju. Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan di negara ini perlu dilaksanakan dengan lebih berhati-hati dengan mengambil kira kekurangan guru, kesesakan bilik darjah dan kemudahan yang daif di sesetengah sekolah. "Adakah tandas kita, adakah bilik darjah kita, adakah guru kita, adakah kurikulum kita, adakah sistem pentaksiran dan adakah persekitaran sekolah kita itu telah disediakan sesuai dengan keperluan untuk murid umur enam tahun?" soalnya.
Prinsipnya ialah sekolah bertanggungjawab membuat persediaan untuk menerima murid umur enam tahun, bukan murid yang kena buat penyesuaian untuk ke sekolah. Tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah untuk membuat persiapan dan persediaan supaya murid-murid bersedia untuk memulakan alam persekolahan pada usia enam tahun, tambah beliau. Anuar berkata, guru Tahun Satu juga perlu diberi latihan khusus untuk bersedia membimbing murid pada usia itu dalam pengurusan diri dan penjagaan kebersihan.
Malah, jumlah murid dalam setiap kelas juga perlu diberi perhatian khusus. "Kita kena lihat juga apa negara maju sediakan untuk anak-anak mereka yang masuk sekolah. Misalnya mereka hanya ada 25 hingga 30 murid dalam satu kelas, ada guru pembantu dan sebagainya, pada saya ia dapat diurus dengan baik. Tapi kalau kelas kita ada 45 hingga 50 murid, hanya seorang guru, bagaimana ia sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya.
Beliau menegaskan bahawa pada masa sama, kurikulum Tahun Satu juga perlu memberi ruang seluasnya kepada murid untuk bermain sambil belajar, manakala ibu bapa perlu dimaklumkan bagaimana pembelajaran akan dilaksanakan. "Biarlah bila sekolah kita buat persiapan, ibu bapa pun faham pelaksanaannya dan kita nampak ada kesan yang baik kepada dasar ini, barulah kita mula wajibkan," katanya.