Syafiq puji profesionalisme Kamal Adli ketika penggambaran Takluk 2

PUTRAJAYA: Pelakon Syafiq Kyle memuji sikap profesional Kamal Adli yang terus memberikan komitmen penuh sepanjang penggambaran filem *Takluk 2: Op Daulat*, meskipun berdepan masalah peribadi. Filem itu dijadualkan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 26 November ini.
Syafiq berkata, Kamal tidak mencampuradukkan urusan peribadi dengan kerja ketika berada di lokasi penggambaran. Mereka bergandingan dalam *Takluk 1* dan *Takluk 2*.
“Kerjasama yang sangat baik walaupun kita tahu Kamal Adli ada masalah peribadi pada ketika itu. Namun, dia tetap memberi komitmen yang terbaik ketika penggambaran,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Syafiq, dalam misi yang dipaparkan kali ini, beliau hanya tinggal berdua dengan Kamal dalam pasukan VAT 69.
Syafiq turut menyifatkan peluang berlakon bersama barisan pelakon seperti Datuk Remy Ishak dan Datuk Eman Manan dalam sebuah naskhah kenegaraan sebagai impiannya yang menjadi kenyataan.
Pelakon itu berkata pembabitannya dalam filem arahan Zulkarnain Azhar berkenaan memberinya pengalaman dan ilmu baharu, selain meningkatkan semangat patriotik serta penghargaan terhadap pengorbanan pasukan keselamatan.
Katanya, filem itu turut menambahkan rasa cintanya kepada negara. Beliau berkata abangnya ialah anggota polis dan beliau menghormatinya.
“Dalam keadaan cuaca panas kita pun merungut pasal panas, sedangkan mereka berdepan dengan peluru. Itu pun mereka tak merungut dan terus berjuang,” katanya.