Mangsa banjir di Selangor, Perak menurun; Terengganu meningkat

Sumber: Astro Awani
Mangsa banjir di Selangor, Perak menurun; Terengganu meningkat
Gambar: Astro Awani

Jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS di Selangor dan Perak menunjukkan penurunan pagi ini, manakala Terengganu mencatatkan sedikit peningkatan. Di Selangor, jumlah mangsa masih berada di PPS turun kepada 819 orang daripada 228 keluarga hari ini, berbanding 1,158 orang daripada 324 keluarga semalam. Enam PPS masih beroperasi di negeri itu, dengan lima PPS terletak di daerah Kuala Selangor dan satu di Kuala Langat. Antara PPS yang menempatkan mangsa di Kuala Selangor ialah SK Dato’ Maharaja Lela (348 mangsa), SRA Pasangan (157), SK Parit Mahang (144), Sekolah Agama Batu 8 Ijok (108) dan Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (46). PPS Balai Raya Kampung Sungai Kelambu di Kuala Langat menempatkan 16 mangsa.

Di Perak, jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di tiga PPS di tiga daerah menurun kepada 211 orang daripada 63 keluarga pagi ini, berbanding 255 orang daripada 73 keluarga semalam. Sekretariat JPBN memaklumkan Kerian telah pulih sepenuhnya daripada bencana banjir apabila PPS SK Bukit Merah yang turut menempatkan mangsa tanah runtuh ditutup pada 9 malam tadi. Di Manjung, PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai menempatkan 127 mangsa daripada 37 keluarga, manakala PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan di Hilir Perak menempatkan 74 mangsa daripada 22 keluarga. Jumlah mangsa banjir di Larut, Matang dan Selama kekal 10 orang daripada empat keluarga dan berlindung di PPS SK Batu Hampar. Sementara itu, JPS memaklumkan paras air Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah, Kerian berada pada tahap bahaya dengan bacaan 9.18 meter berbanding paras normal 8.68 meter. Met Malaysia pula meramalkan hujan pada sebelah petang di semua daerah di Perak.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal, Kuala Nerus meningkat kepada 151 orang daripada 42 keluarga setakat 9 pagi ini, berbanding 135 orang daripada 43 keluarga petang semalam. Portal Public InfoBanjir turut melaporkan paras air di stesen Kampung Bukit (F1), Setiu berada pada tahap waspada selepas melepasi paras 10.5 meter susulan hujan lebat malam tadi.