JPJ Kelantan tahan sekurang-kurangnya lima Rohingya sehari atas kesalahan trafik

Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan dilaporkan menahan sekurang-kurangnya lima etnik Rohingya setiap hari atas pelbagai kesalahan trafik menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negeri. Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata kebanyakan penahanan itu berlaku di Kota Bharu susulan beberapa siri operasi yang menyasarkan pemandu warga asing yang melanggar peraturan pengangkutan jalan raya.
Beliau menegaskan operasi terhadap kumpulan warga asing itu dijalankan secara berterusan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai sasaran. Mohd Misuari berkata, pihaknya turut menerima banyak maklumat berhubung kumpulan warga asing yang didakwa melanggar peraturan pengangkutan jalan raya, termasuk aduan bahawa warga Rohingya memandu kereta milik penduduk tempatan tanpa memiliki lesen memandu yang sah. “Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melanggar undang-undang,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kesalahan lain yang dikesan termasuk menggunakan motosikal dengan cukai jalan tamat tempoh serta menunggang tanpa perlindungan insurans yang sah. Sehubungan itu, JPJ Kelantan akan meneruskan operasi penguatkuasaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan trafik, selain memastikan setiap kenderaan yang digunakan mempunyai lesen dan perlindungan insurans yang sah.